IPOH - Tersilap tekan pedal minyak menyebabkan sebuah kereta dipandu seorang pelajar perempuan merempuh dinding kaca sebuah kafe di dalam kawasan universiti di Jalan Raja Permaisuri Bainun di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pelajar berusia 19 tahun tersebut dipercayai mahu memindahkan kereta Perodua Myvi yang dipandunya ke lokasi parkir lain.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kenderaan itu bagaimanapun tiba-tiba meluru ke hadapan dan menghentam kafe berkenaan.
"Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan secara tidak sengaja memijak pedal minyak ketika hendak mengalihkan keretanya menyebabkan kenderaan itu bergerak ke hadapan dan melanggar cermin kafe," katanya ketika dihubungi pemberita.
Menurut beliau, kemalangan tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kerosakan dianggarkan bernilai RM7,500.
Katanya, semakan mendapati, pemandu tersebut masih dalam tempoh lesen memandu percubaan (P).
"Polis telah mengambil keterangan dan mengeluarkan saman ke atas pelajar itu.
"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu," katanya.