SEPANG - [DIKEMAS KINI] Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) di sini menjadi tumpuan pemberita dan orang ramai seawal jam 7 malam.
Ia bagi menyambut ketibaan 27 sukarelawan Global Sumud Flotilla yang dijangka tiba sekitar jam 9.30 malam ini.
Daripada jumlah itu, 23 sukarelawan telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal mereka dipintas ketika menghampiri perairan Gaza.
Mereka ialah Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Zizi Kirana, Danish Nazran Murad, dan Ardell Aryana.
Turut ditahan ialah PU Rahmat, Musa Nuwayri, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Iylia Balqis, Sul Aidil, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Razali Awang, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid, Ustaz Muhammad Abdullah, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli, dan Taufiq Mohd Razif.
Sementara itu, empat lagi aktivis yang menaiki kapal pemerhati Summertime-Jong dan tidak memasuki Zon Merah berada dalam keadaan selamat selepas kapal mereka berlabuh di Pelabuhan Paphos, Cyprus. Mereka ialah Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Mazian, Serieffa dan Ariff Budiman.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at ketika ditemui berkata, seramai 30 anggota dan pegawai bertugas membuat kawalan keselamatan bermula jam 8 malam.
"Ketika ini kehadiran orang ramai lebih kurang 100 orang dan dijangka akan bertambah dari semasa semasa," katanya pada Selasa.
Berdasarkan tinjauan di aplikasi Flight Radar 24, pesawat Emirates 380 yang membawa aktivis itu berada di ruang udara berhampiran Aceh, Indonesia.
Sementara itu, beberapa kumpulan orang awam yang berada di lokasi turut melaungkan Free Palestin.
Satu sidang akhbar dijadualkan diadakan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan jam 11 malam.
Antara yang turut dijangka hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil;
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu.
Ia turut dihadiri Timbalan Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan; Duta Besar Turkiye, Emir Salim Yüksel; Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil dan Kuasa Usaha Sementara Palestin, Walid Abu Ali.