Keputusan semakan kehakiman keluarga Daim 5 November

Iklan
Toh Puan Na'imah Abdul Khalid

 

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk mendapatkan kebenaruntuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar tindakan pembekuan akaun dan harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ditetapkan pada 5 November depan

Iklan
Iklan

Hakim, Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili keluarga Daim selaku pemohon sementara Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan bagi pihak Peguam Negara (AG).

Semasa hujahan, Gurdial berkata, pengisytiharan bahawa perintah pembekuan dan sitaan yang dikenakan oleh responden di bawah Seksyen 37 Akta SPRM 2009 telah terbatal dan tidak sah.

Iklan

Menurutnya, tindakan berkenaan telah melanggar hak perlembagaan pemohon dan menyalahi undang-undang.

Katanya, perkara berkenaan juga dibuat dengan niat jahat, menyalahgunaan proses undang-undang dan berlaku penyalahgunaan kuasa oleh responden pertama hingga keempat.

Iklan

"Akaun pemohon telah dibekukan atau disita sejak 7 Jun 2023 dan kekal sedemikian sehingga hari ini maka ia merupakan suatu pelaksanaan yang salah.

"Sudah menjadi tanggungjawab responden untuk memberikan justifikasi terhadap tindakan itu di mahkamah kerana terdapat isu yang boleh dipertikaikan yang memerlukan hujahan lanjut oleh pihak-pihak pada peringkat substantif,” katanya.

Sementara itu, Nurhafizza berhujah, permohonan berkenaan perlu ditolak kerana ia bersifat remeh dan menyusahkan selain semua pemohon tidak mempunyai kes yang boleh dipertikaikan.

Selain itu beliau berkata, permohonan berkenaan difailkan melebihi masa yang diperuntukkan, malah ia tidak mempunyai locus standi iaitu hak di sisi undang-undang.

Menurutnya, terdapat prosedur alternatif yang lebih sesuai bagi perkara terbabit sekali gus menunjukkan bahawa semakan kehakiman sebagai prosedur yang tidak sesuai.

"Dakwaan pemohon pada asasnya hanyalah aduan bahawa pembekuan akaun bank dibuat tanpa asas dan siasatan terhadap mereka bermotifkan politik dan dicemari niat jahat.

"Mereka gagal mengemukakan bukti kukuh dan prima facie yang jelas dan boleh membawa kepada kesimpulan muktamad bahawa dakwaan tersebut telah dibuktikan," katanya.

Pada 25 September 2025, Daim, isterinya Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, empat orang anak mereka dan 17 syarikat telah memfailkan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap perintah pembekuan SPRM ke atas akaun bank mereka.

Mahkamah Tinggi kemudian pada 5 Februari lalu, membenarkan permohonan Na'imah, untuk mewakili arwah suaminya dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Pada 6 Jun 2024, Allahyarham dan ahli keluarganya memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah membatalkan tindakan SPRM yang menyita aset alih mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Selain Daim dan Na'imah, empat anak Allahyarham ialah Asnida, 64, Wira Dani, 47, Muhammed Amir Zainuddin, 30, dan Muhammed Amin Zainuddin, 27, bersama 17 syarikat.

Mereka selaku pemohon pertama hingga ke-23, menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucutan Harta SPRM Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia, sebagai responden pertama hingga keenam.