SERDANG – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan sebaran video dan gambar yang tular di media sosial menggunakan wajah serta suara menyerupai beliau, yang didakwa sebagai mesej rasmi daripadanya.
Menerusi satu hantaran di platform X, beliau menegaskan bahawa kandungan tersebut adalah foto dan video yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta merupakan berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Harap maklum bahawa ini adalah foto yang dijana oleh AI dan berita palsu yang disebarkan oleh penipu.
"Ia nampak seperti saya, berbunyi seperti saya, bergerak seperti saya, berjalan seperti saya, tetapi ia bukan saya!" katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas foto dan video beliau yang digunakan satu produk kesihatan menerusi hantaran Facebook palsu.