KOTA BHARU - Seorang bapa bersama dua anak lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak perempuannya di Pasir Puteh pada tahun lalu hingga September.
Tertuduh berusia 65 tahun dan dua anaknya berusia 24 dan 33 tahun dituduh secara berasingan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Warga emas terbabit didakwa dua pertuduhan, manakala dua anaknya masing-masing didakwa satu pertuduhan.
Mengikut pertuduhan membabitkan bapa, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuannya yang kini berusia 12 dan 16 tahun di ruang tamu di sebuah rumah di Pasir Puteh sekitar jam 2 hingga 3 petang pada Julai 2025.
Bagi pertuduan membabitkan dua beradik pula, mereka masing-masing didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama iaitu adik perempuan berusia 16 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu sebuah rumah di Pasir Puteh pada petengahan tahun lalu dan 19 September antara jam 12.15 dan 12.30 tengah malam.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta 792 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan sementara tertuduh diwakili peguam, Nik Mohamad Naqib Mohamad Noor.
Terdahulu, Siti Hajar tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes berkenaan tidak boleh dijamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 November ini sebagai sebutan semula kes.