Freedom Flotilla Coalition dijangka masuk zon merah jam 5 petang esok - MyCARE

Iklan
Kamarul Zaman ketika sidang media di ibu pejabat MyCARE pada Selasa.

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang kini dalam pelayaran ke Gaza dijangka memasuki zon merah pada 5 petang Rabu waktu Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, sasaran itu ditetapkan bagi membolehkan misi membabitkan sembilan kapal termasuk kapal utama Conscience dan kapal pelayaran Umm Saad, tiba di Gaza sebelum Jumaat.

Iklan
Iklan

"Kesemua kapal telah bergerak pada kelajuan knot 4.00 dan telah memasuki 200 batu nautika dari perairan Pantai Gaza.

"Kapal Conscience mula bergerak pada jam 9.30 pagi pada Selasa waktu Malaysia dan lapan kapal yang lain bergerak pada jam 1 pagi," katanya ketika sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Misi FFC kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia berada dalam kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lepas diketuai Mohd Alauddin, tiga doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.

Iklan

Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.

Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Tambah Kamarul Zaman, Ketua Delegasi Malaysia, Prof Alauddin melaporkan kesemua delegasi kapal telah sebulat suara untuk bertemu dalam satu garis masa dijangka di 150 batu nautika dan berkemungkinan berhadapan dengan penahanan rejim Zionis Israel.

"Dr Fauziah berkata, dunia perlu memberi lebih tekanan kepada rejim Zionis dan semua lapisan masyarakat harus bangkit memberi tekanan kepada Israel serta sekutunya untuk berhenti melakukan perkara yang menambah kesengsaraan rakyat Palestin khususnya di Gaza.

"Selain itu, beliau juga menyarankan agar anjuran demo diadakan sehingga mereka selamat keluar dari penjara Israel agar terus sedar tentang kekejaman yang dilakukan rejim Zionis," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, beliau memohon rakyat Malaysia tidak mengira agama, warna kulit dan ideologi untuk bersama-sama memberikan sokongan terhadap Palestin.

"Ini adalah isu kemanusiaan dan sangat jelas badan antarabangsa mengisytiharkan ini genosid. Kita perlu bersatu hati atas nama kemanusiaan hentikan kekejaman jenayah kemanusiaan.

"Justeru, ayuh seluruh rakyat Malaysia berhimpun di Axiata Arena, Bukit Jalil malam esok bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama-sama sukarelawan negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang selamat pulang ke tanah air selepas ditahan oleh Israel baru-baru ini," katanya.