KUALA LUMPUR – Dua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membahaskan isu jemputan kerajaan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN dan soal kewarganegaraan melibatkan pemain bola sepak.
Usul-usul itu dikemukakan bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi menggesa Dewan Rakyat membahaskannya untuk menangani kebimbangan awam yang semakin meningkat.
Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin telah menerima usulnya untuk membahaskan jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Kata beliau, usul itu perlu disegerakan memandangkan Sidang Kemuncak ASEAN dijangka berlangsung dalam masa kurang daripada sebulan.
“Keputusan Parlimen amat diperlukan agar Malaysia tidak dilihat mengiktiraf pemimpin yang menyokong kezaliman Zionis.
“Saya berharap Tan Sri Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mempertimbangkan dan meluluskan usul ini untuk dibahaskan segera, demi memastikan pendirian tegas Malaysia terhadap Palestin dan keadilan sejagat tidak dikompromikan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
“Keputusan Parlimen penting untuk memastikan Malaysia tidak dilihat sebagai mengiktiraf"pemimpin yang menyokong kezaliman Zionis".
“Saya berharap Tan Sri Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mempertimbangkan dan meluluskan usul ini untuk dibahaskan segera, demi memastikan pendirian tegas Malaysia terhadap Palestin dan keadilan sejagat tidak dikompromikan.
Ahmad Amzad menegaskan, Malaysia mesti berdiri di sisi kebenaran walau siapa pun tetamu yang datang.
Kementerian Luar Negeri terdahulu menegaskan, jemputan kepada Trump hujung bulan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan bukan atas dasar hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berkewajipan menjemput semua negara rakan dialog ASEAN demi menjamin prinsip berkecuali dan pemusatan ASEAN terus terpelihara.
Beliau turut menasihati Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) supaya tidak jadi 'lebih Hamas daripada Hamas’.
Ia selepas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu terus menekan kerajaan agar membatalkan jemputan kepada Trump.
Sementara itu, dalam surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta Dewan Rakyat membincangkan alasan diberikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di sebalik keputusannya mengenakan sekatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.
Pemimpin DAP itu menyifatkan perkara berkenaan menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan tadbir urus sukan negara, proses naturalisasi atlet dan tahap pengawasan ke atas dokumen rasmi negara.
Katanya, terdapat kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang melibatkan pemalsuan dokumen rasmi yang memerlukan penyiasatan menyeluruh dan tindakan segera pihak berkuasa.
Justeru, Zhemin berpandangan, Dewan Rakyat perlu membahaskan dan memutuskan langkah segera kerajaan termasuk menjelaskan kepada awam mengenai tindakan pentadbiran, tatatertib dan undang-undang yang akan diambil terhadap FAM dan mana-mana individu yang terlibat dalam dakwaan salah laku.
Usul tersebut turut mendesak supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasat punca kegagalan dalam proses pengesahan dan menentukan sama ada terdapat pemalsuan dokumen rasmi negara.
FIFA dilapor mengemukakan bukti berhubung penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Dalam laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menjelaskan wujud percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen yang dikemukakan oleh FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain terbabit.