Lapan individu didakwa kurung tiga lelaki, rompak guna senjata

Iklan
Lapan individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di Kota Bharu pada Selasa atas pertuduhan mengurung tiga lelaki dan bersubahat melakukan rompakan serta menunjukkan senjata di Pasir Puteh. Foto Sinar Harian HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Seramai lapan individu termasuk tiga beranak dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mengurung tiga lelaki serta bersubahat dalam kejadian di Pasir Puteh pada 25 September lalu.

Kesemua tertuduh terdiri daripada Norhazri Muhammad Nor, 45; Hazafee Mohamed, 37; Mohd Hasrun Mohd Yusof, 37; Mohd Fairuz Mahasan, 41; Muhammad Danish Syahmi Norhazri, 22; Muhammad Darwish Syahmi Norhazri, 20; dan Muhammad Najmuddin Ahmad Zamri, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amirul Asyraf Abdul Rasid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama secara salah mengurung tiga lelaki berusia antara 23 hingga 30 tahun di sebuah rumah di Jalan Pantai Bisikan Bayu, Cherang Ruku, Pasir Puteh, antara jam 10.40 malam hingga 4 pagi dari 25 hingga 29 September.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk memeras harta, dan kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah membenarkan tiga daripada tertuduh iaitu Muhammad Danish Syahmi, Muhammad Darwish Syahmi dan Muhammad Najmuddin diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 November ini.

Iklan

Sementara itu, seorang wanita, Yang Marliziana Mohd Ramli, 37, turut didakwa atas pertuduhan bersubahat dalam kejadian sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan tujuh tertuduh lain melakukan pengurungan terhadap tiga mangsa sama di lokasi berbeza, iaitu di perhentian bas Pasar Peringat, Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu, pada kira-kira jam 4 petang, 25 September.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 347 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 November ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, empat daripada mereka – Norhazri, Hazafee, Mohd Hasrun dan Mohd Fairuz turut didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dengan menunjukkan pistol dalam kejadian di bawah jambatan Gong Kulim, Jalan Pasir Puteh–Tok Bali pada 25 September lalu.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan terhadap tiga lelaki sama dengan menggunakan senjata api jenis pistol pada kira-kira jam 4.35 petang, 25 September di bawah jambatan Gong Kulim, Pasir Puteh.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebat tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan, manakala semua tertuduh diwakili peguam sama, Mohd Azrul Hasyimi.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh dan menetapkan 9 November depan untuk sebutan semula kes.