Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih selit sindiran halus, gurauan pedas

Iklan
Apakah Alfa akan kekal dengan Zainun? Atau kembali kepada Darian?

SETELAH hit menerusi siri Layangan Putus, pengarah popular Indonesia, Benni Setiawan mempertaruhkan karya berbeza menerusi Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih.

Tampil berani mengangkat isu talak tiga, topik yang jarang sekali disentuh dalam industri perfileman tanah air.

Iklan
Iklan

Walaupun mengetengahkan persoalan berat mengenai rumah tangga, jalan ceritanya disusun dengan elemen komedi romantik yang membuatkan penonton tidak rasa terbeban, sebaliknya terhibur sambil merenung mesej yang disampaikan.

Mengisahkan Alfa dan Darian, pasangan muda yang berpisah selepas berdepan pelbagai konflik, ingin berdamai semula.

Iklan

Keadaan menjadi rumit kerana untuk berkahwin semula selepas perceraian kali ketiga, si isteri perlu bernikah dengan orang lain terlebih dahulu. Akhirnya, Zainun muncul sebagai suami sementara kepada Alfa.

Perasaan cemburu dan bimbang mula timbul dalam diri Darian apabila dia sering berasa curiga dan kerap mencampuri urusan mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai situasi yang rumit.

Iklan

Kemunculan Intan pula membuka mata Darian tentang erti cinta sebenar.

Walaupun isu yang dipaparkan mempunyai kaitan dengan hukum agama, garapan pengarah cukup berhati-hati sehingga penceritaannya kekal ringan dan mudah difahami.

Latar budaya Sunda di Bandung turut menambah warna kepada jalan cerita. Dialog tempatan dan penggunaan muzik retro memberi kesan emosi yang mendalam, sekali gus membangkitkan suasana klasik yang dekat di hati.

Barisan pelakon seperti Mikha Tambayong (Alfa), Kevin Ardilova (Darian), Tissa Biani (Intan) dan Ibrahim Risyad (Zainun) pula berjaya menghidupkan watak dengan penuh kesan.

Keserasian yang ditonjolkan menjadikan konflik cinta tiga segi itu lebih realistik, membuatkan penonton dapat merasai ketegangan, ego dan penyesalan yang mengiringi hubungan mereka.

Namun, beberapa babak dramatik yang sarat emosi diselitkan dengan adegan jenaka mengganggu rentak penceritaan.

Secara keseluruhannya, karya tersebut mengajak penonton berfikir tentang nilai hubungan, adat dan agama, pada masa sama, tetap mengekalkan pendekatan yang mesra dan santai.

Malah, ia wajar diberikan perhatian kerana berjaya menyatukan humor serta renungan mendalam, menjadikannya sebuah naskhah yang segar dan berbeza daripada kebiasaan.