SHAH ALAM - Perbuatan menghidang atau menonjolkan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah bertentangan dengan hukum syarak, moral dan undang-undang negara.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, Islam bukan sahaja mengharamkan pengambilan arak, tetapi juga segala bentuk kerjasama dan penglibatan dengannya.
Menurutnya, dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam dan Hab Halal Dunia, tindakan penghidangan arak dalam majlis rasmi hanya mencemarkan imej negara serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Arak atau khamar merupakan antara isu sensitif yang sering menjadi tumpuan masyarakat, terutamanya bagi negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam seperti Malaysia.
"Pengharaman arak dalam Islam adalah suatu perkara yang muktamad dan jelas. Mutakhir ini, timbul kembali polemik berkaitan penyediaan atau penonjolan minuman berunsur arak dalam majlis-majlis rasmi yang berkaitan dengan pihak kerajaan.
"Persoalan ini tidak hanya melibatkan aspek syarak semata-mata, tetapi turut menyentuh soal adab, moral, norma masyarakat dan imej negara di mata dunia," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa terdapat minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis makan malam gala sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program lebih awal.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pada Sabtu menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan bahawa Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab terhadap program Global Travel Meet selama dua hari setengah, dan bukan acara makan malam.
Beliau sekali lagi pada Ahad menegaskan bahawa majlis makan malam dalam program Global Travel Meet 2025 merupakan inisiatif daripada pihak industri dan sektor swasta.
Tambah Ahmad Fauwaz, semua pihak terlibat sebarang program atau majlis dianjurkan agensi-agensi berkaitan kerajaan atau melambangkan identiti negara perlu mengikut tiga prinsip utama iaitu mestilah menghidangkan makanan atau minuman yang telah disahkan sebagai halal oleh pihak berautoriti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
"Seterusnya, penganjuran majlis yang menghidangkan minuman arak tidak boleh melibatkan sebarang logo, lambang atau label yang melambangkan pihak kerajaan mahupun negara.
"Selain itu, penganjuran majlis sedemikian mestilah berlangsung dalam keadaan yang tertutup dan tidak boleh disiarkan secara terbuka kepada masyarakat bagi memelihara sensitiviti agama dan norma sosial majoriti," katanya.
Menurutnya, amat penting bagi semua pihak khususnya yang mewakili entiti kerajaan dan negara untuk memahami dan menghormati batas-batas yang ditetapkan demi memelihara keharmonian serta jati diri Malaysia.
"Oleh itu, semua pihak dinasihatkan agar menghormati Perlembagaan Persekutuan, mematuhi hukum syarak dan menjaga sensitiviti umat Islam demi memelihara keharmonian serta perpaduan nasional," katanya.