SHAH ALAM – Seekor kucing bernama Cuyen pasti akan muncul dan melompat ke dalam kereta untuk menemani tuannya setiap kali enjin kenderaan warga emas itu dihidupkan.
Anak kepada warga emas berkenaan, Farzana Mohammad, 30, yang tinggal di Kota Bharu berkata, ayahnya, Mohammad Mohamad Amin,74, mula memelihara Cuyen selepas menemui kucing itu di tepi jalan ketika pulang dari kerja.
"Sejak ayah jumpa Cuyen semasa kecil dulu, dia memang rapat sangat dengan ayah. Jika ayah hidupkan enjin kereta sahaja, Cuyen terus datang dan hendak ikut.
"Pergi mana-mana pun dia ikut. Cuyen tidak kacau pun, duduk diam tengok pemandangan. Ayah siap sediakan tempat khas dalam kereta untuk dia," katanya.
Farzana yang merupakan peniaga berkata, ayahnya sering membawa Cuyan bersiar-siar menaiki kereta di sekitar kawasan perumahan mereka.
Menurutnya, keluarga mereka sebenarnya mempunyai sembilan ekor kucing, namun Cuyen paling rapat dan manja dengan ayahnya.
"Cuyen lain sikit, dia pandai dan sangat manja. Jika ayah hidupkan enjin kereta, dia terus ikut. Jika ayah keluar rumah pun, dia akan tunggu depan pintu," ujarnya lagi
Hubungan akrab antara bapanya dan Cuyen menjadi perhatian ramai apabila video mereka dikongsikan menerusi akaun TikTok kerepekpisangsnow tular di media sosial dengan hampir sejuta tontonan.
"Tidak sangka pun video boleh viral. Saya cuma kongsi sebab rasa comel tengok ayah dan Cuyen. Rupanya ramai suka," menurutnya lagi.