Dari mangsa tragedi, Noor Haslinda terus kuat berbakti kepada pesakit

Iklan
Noor Haslinda turut berkongsi beberapa video menerusi Tik Tok dengan memaparkan keadaan terkini dirinya ketika bekerja selepas kehilangan beberapa jari akibat tragedi berkenaan kira-kira 10 tahun lalu.

SHAH ALAM - Hampir 10 tahun selepas terselamat daripada tragedi pembunuhan kejam yang meragut nyawa tiga ahli keluarganya, Noor Haslinda Diyana Hassan, 36, memilih untuk meneruskan kehidupan dengan berbakti kepada orang lain sebagai jururawat anestesia.

Menurut wanita berasal dari Melaka itu, pengalaman pahit yang dilaluinya bukan alasan untuk terus terperangkap dalam kesedihan, sebaliknya menjadi titik tolak untuk membina kekuatan diri dan meneruskan kehidupan dengan penuh makna.

Iklan
Iklan

Noor Haslinda berkata, sokongan keluarga, rakan-rakan serta tanggungjawab terhadap pesakit banyak membantunya bangkit sedikit demi sedikit daripada fasa sukar selepas tragedi yang berlaku pada 2016.

“Mindset. Jangan sedih dengan apa yang jadi, reda. Perkara yang banyak membantu saya keluar daripada fasa sukar itu ialah sokongan orang di sekeliling, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan semangat.

Iklan

“Selain itu, pekerjaan saya sebagai jururawat juga banyak membantu saya untuk terus kuat kerana saya mempunyai tanggungjawab terhadap pesakit dan orang lain,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Noor Haslinda turut berkongsi beberapa video menerusi Tik Tok dengan memaparkan keadaan terkini dirinya ketika bekerja selepas kehilangan beberapa jari akibat tragedi berkenaan kira-kira 10 tahun lalu.

Iklan

Sebelum ini, Noor Haslinda turut berkongsi beberapa video menerusi Tik Tok dengan memaparkan keadaan terkini dirinya ketika bekerja selepas kehilangan beberapa jari akibat tragedi berkenaan kira-kira 10 tahun lalu.

Antara video yang dikongsikan menerusi akaun @kaptenhook21 ialah rakaman dirinya sedang menulis yang meraih 443,500 tontonan dan 8,052 tanda suka.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Kampung Bertam Malim, Melaka, pada awal pagi itu, ibu, Mariah Baharim, 61; bapa Hassan A Wahab, 70, dan adik lelaki, Muhammad Taufeq Hassan, 22, terbunuh.

Noor Haslinda dan seorang lagi anak perempuan pasangan itu, Nur Aqedah Aeina Hassan turut menjadi mangsa serangan menggunakan parang panjang, namun kedua-duanya terselamat.

Mengimbas proses pemulihan dirinya, Noor Haslinda berkata, dia belajar menerima keadaan, menjalani kehidupan satu hari pada satu masa dan tidak memaksa diri untuk pulih dalam tempoh singkat.

Menurutnya, doa, sokongan insan tersayang dan kepercayaan terhadap kekuatan diri sendiri membantunya menyedari bahawa dia masih mempunyai nilai serta kemampuan untuk meneruskan kehidupan.

"Saya percaya setiap fasa sukar ada hikmahnya. Dengan doa, sokongan orang tersayang dan kekuatan dalam diri sendiri, saya mula belajar untuk bangkit semula dan percaya bahawa saya masih mempunyai nilai serta kemampuan untuk terus melangkah," kongsinya.

Noor Haslinda ketika bertugas sebagai jururawat anestesia di hospital.

Lebih menyentuh hati, kenangan serta didikan arwah ibu dan ayah turut menjadi sumber kekuatan terbesar buat dirinya untuk terus bertahan meskipun kedua-duanya sudah tiada.

Menurut beliau, nilai kehidupan yang diterapkan ibu bapanya, termasuk menjadi seorang yang kuat, jujur, bertanggungjawab dan tidak mudah mengalah, terus dipegang sehingga hari ini.

“Kadangkala saya rasa sangat penat dan tertanya-tanya bagaimana saya mahu meneruskan hidup. Tetapi saya akan teringat didikan dan pengorbanan mereka.

Noor Haslinda memberitahu, sehingga kini, kenangan menyambut hari lahir arwah ibunya buat kali terakhir menjadi antara memori paling kuat dalam ingatannya.

Bagaimanapun, katanya, dia memilih untuk menjadikan kehilangan dan kenangan itu sebagai kekuatan untuk meneruskan kehidupan, bukannya alasan untuk terus berada dalam kesedihan.

Mengulas cabaran bekerja dalam bidang kejururawatan, Noor Haslinda berkata, antara perkara utama yang diberi perhatian ialah memastikan keadaan dirinya tidak menjejaskan kualiti penjagaan terhadap pesakit.

Katanya, tugas yang memerlukan ketahanan fizikal dan emosi, pergerakan pantas serta tempoh bekerja yang panjang menuntutnya mengurus tenaga dengan baik.

Bagaimanapun, pengalaman hidup dan keadaan dirinya turut mengajarnya menjadi lebih berdikari, berdisiplin serta peka terhadap keperluan orang lain.

“Bagi saya, keadaan saya bukan penghalang untuk memberikan penjagaan yang selamat, berkualiti dan penuh empati kepada pesakit,” katanya.

Sokongan keluarga, rakan-rakan serta tanggungjawab terhadap pesakit banyak membantu Noor Haslinda bangkit sedikit demi sedikit daripada fasa sukar selepas tragedi yang berlaku pada 2016.

Dalam pada itu, Noor Haslinda berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berkongsi kisah kehidupannya menerusi TikTok kerana lebih selesa menyimpan pengalaman dan cabaran yang dilalui untuk dirinya sendiri.

Bagaimanapun, katanya, selepas sekian lama, dia menyedari mungkin terdapat individu lain yang sedang melalui pengalaman sukar dan berasa keseorangan.

Katanya, perkongsian itu bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya untuk menunjukkan bahawa seseorang yang pernah melalui pengalaman pahit masih mampu bangkit, bekerja, meneruskan kehidupan dan memberikan yang terbaik kepada orang lain.

“Saya berharap perkongsian saya dapat menjadi sedikit kekuatan kepada mereka yang sedang berjuang.

“Kalau pengalaman saya boleh membuat seorang sahaja rasa bahawa mereka tidak keseorangan, bagi saya itu sudah cukup bermakna,” katanya.

Walaupun kejadian itu meninggalkan kesan yang sukar dilupakan, Noor Haslinda berkata, dia kini boleh tidur seperti biasa dan tidak lagi kerap terbayang kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan gelap akibat gangguan bekalan elektrik atau blackout masih boleh mencetuskan ingatan terhadap tragedi itu.