BOMBANA – Seorang lelaki di Desa Rompu-rompu, Poleang Utara, Bombana, Sulawesi Tenggara, sanggup bertindak kejam menamatkan nyawa isterinya sendiri hanya kerana pertengkaran kecil di tengah malam.
Insiden tragis itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan, Selasa lalu (30 September), apabila suspek dikenali sebagai S, diminta isterinya, J, merebus air untuk menyediakan susu anak mereka.
Namun, permintaan kecil itu mencetuskan kemarahan besar, suspek kemudian menyiram air panas ke arah isterinya sebelum wanita itu melarikan diri ke belakang rumah.
Tidak berpuas hati, S mengejar mangsa dengan parang dan menikamnya hingga mati di kawasan semak belakang rumah mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polis Bombana, Iptu Yudha Febri Widanarko berkata, hasil siasatan mendapati pembunuhan itu berpunca daripada pertengkaran rumah tangga yang sering berlaku antara pasangan berkenaan.
“Suspek marah kerana tidak disediakan makanan dan bertambah emosi apabila isteri enggan menuruti kehendaknya. Pertengkaran memuncak apabila mangsa meminta dia menjerang air untuk tujuan membancuh susu, hingga membawa kepada tindakan kejam itu,” katanya.
Menurutnya, selepas kejadian, suspek cuba mengaburi siasatan polis dengan menyembunyikan barang bukti seperti parang digunakan dalam kejadian.
“Dia juga berpura-pura menemui mayat isterinya sendiri dan mendakwa wanita itu dibunuh orang tidak dikenali,” jelasnya.
Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas siasatan lanjut dan keterangan saksi mengesahkan penglibatan S.
Suspek ditahan pasukan khas polis di Rompu-rompu pada Sabtu (4 Oktober 2025), empat hari selepas kejadian.
Mangsa berusia 35 tahun ditemui dalam keadaan tragis dengan kesan tikaman dan lebam di seluruh badan.
Pihak polis kini sedang melengkapkan siasatan, dan S bakal berdepan tuduhan membunuh serta keganasan rumah tangga yang menyebabkan kematian.-Agensi