JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak tergesa-gesa menyatakan sokongan terhadap Pelan Damai 20 Perkara yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menyelesaikan konflik Gaza antara Israel dan Hamas.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Perdana Menteri dijangka menjawab di Dewan Rakyat mengenai pendirian kerajaan Malaysia terhadap pelan tersebut pada Selasa.
“Ini persoalan penting dan perlu dijawab dengan jelas serta berhati-hati sesuai dengan pendirian tegas Malaysia dalam perjuangan adil rakyat Palestin selama berpuluh-puluh tahun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Hassan, kerajaan Malaysia tidak boleh terlalu mudah, terburu-buru atau memberi ‘cek kosong’ terhadap pelan Trump itu.
Beliau menggariskan beberapa hujah mengapa Malaysia perlu berhati-hati dalam menyatakan pendirian.
Katanya, Malaysia perlu teliti dan cerewet dalam menilai pelan damai berkenaan bukan kerana mahu menjadi lebih Hamas daripada Hamas itu sendiri.
“Kita memang teruja dengan cadangan Trump yang menjanjikan perang tamat segera di Gaza dan keamanan untuk rakyat Gaza.
“Tetapi soalnya, kalau Trump benar jujur tentang keamanan di Gaza untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin, kenapa Trump dan Amerika Syarikat sebanyak enam kali dalam tempoh dua tahun perang berlangsung telah menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan resolusi gencatan senjata di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Disebabkan pendirian Trump dan Amerika Syarikat yang menyokong rejim Zionis Israel itulah, seramai lebih 66,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel,” katanya.
Hassan turut menggesa Perdana Menteri dan Wisma Putra menyemak satu persatu 20 perkara pelan damai Trump tersebut.
“Jelas tiada peranan rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri dalam pelan itu. Sebaliknya Trump melantik dirinya sebagai pengerusi satu badan penyelia antarabangsa yang turut disertai mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair — tokoh yang pernah bersama George W. Bush bertanggungjawab memusnahkan Iraq pada 2003,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan agar kerajaan tidak tertipu dengan helah Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas nama pelan damai tersebut.
“Netanyahu secara terang-terangan menyatakan kepada rakyat Israel bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari wilayah yang telah ditakluk dan beliau tidak bersetuju dengan kewujudan sebuah negara Palestin merdeka.
“Ini bermakna Netanyahu secara terang lagi bersuluh tidak menerima perkara-perkara asas dalam pelan damai Trump itu,” katanya.
Hassan menegaskan, Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia tidak seharusnya tergesa-gesa menyokong pelan yang jelas mencurigakan dalam banyak perkara.