SERDANG – Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) sepakat menandatangani Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera sekiranya mereka ditahan oleh tentera Israel dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira risiko keselamatan yang semakin tinggi terhadap aktivis antarabangsa berikutan layanan keras rejim Zionis terhadap tahanan misi sebelum ini.
“Delegasi Malaysia bersepakat bahawa jika ditawarkan untuk menandatangani dokumen pelepasan segera, kami akan pulang segera.
"Kami tidak mahu mengambil risiko berpanjangan di sana,” katanya menerusi panggilan video semasa sidang media di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di sini pada Isnin.
Menurut beliau, Kedutaan Malaysia di Turkiye telah memaklumkan bahawa proses sama akan turut dilaksanakan kepada semua peserta Malaysia, manakala pasport delegasi telah dihantar kepada pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir bagi memudahkan urusan repatriasi.
“Mereka akan bantu memudahkan pengangkutan bagi proses pemulangan ke Malaysia,” katanya lagi.
Dr Afandi menjelaskan keputusan menandatangani surat itu tidak bermaksud delegasi Malaysia berasa gentar atau berundur daripada perjuangan.
“Ada yang bertanya adakah kami takut? Tidak. Kami melihat objektif utama kami untuk menembusi sekatan sudah pun tercapai.
“Namun kami juga mengambil kira situasi semasa apabila Israel semakin ganas terhadap tahanan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang lalu. Jadi langkah ini adalah yang terbaik,” katanya.
Katanya lagi, kapten kapal memberikan kebebasan penuh kepada setiap peserta sama ada mahu menandatangani borang tersebut atau tidak.
“Keputusan itu terpulang kepada individu masing-masing tetapi kami sebagai delegasi Malaysia sebulat suara tidak mahu memberi tekanan kepada kerajaan dan pemimpin negara, selain mengelak risiko yang tidak dijangka,” jelasnya.
Dalam sidang video itu juga, Dr Afandi berkongsi keadaan semasa kapal Conscience yang kini masih berada di tengah laut dan berhadapan ombak sederhana.
Beliau turut mengesahkan laporan mengenai kehadiran beberapa drone pengintip yang berlegar di ruang udara berhampiran kapal.
“Kami dimaklumkan ada tiga hingga empat drone yang muncul malam tadi, dipercayai milik pihak Israel. Namun keadaan terkawal dan tidak mengganggu kru atau peserta,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa pemantauan udara menjadi rutin keselamatan setiap kali kapal menghampiri zon berisiko di Laut Mediterranean.
“Kehadiran drone bukan sesuatu yang luar biasa. Ini bukan kali pertama, dan kami sudah bersiap siaga setiap masa,” katanya.
Dr Afandi turut menambah bahawa semangat semua peserta Malaysia kekal tinggi walaupun pelayaran mencabar dan berdepan tekanan fizikal serta emosi.
“Kami sedar risiko ini besar, tetapi semua peserta termasuk yang dari negara lain berkongsi perasaan tanggungjawab yang sama apabila melihat penderitaan rakyat Gaza.
“Ada antara kami yang sudah berusia, tetapi semangat mereka tetap kuat dan matang dalam membawa mesej kemanusiaan ini,” katanya.
Kapal Conscience, yang dikemudi di bawah Freedom Flotilla Coalition, kini dilaporkan masih dalam pelayaran bersama armada antarabangsa Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dan menghampiri zon operasi yang diwartakan Israel sebagai kawasan larangan laut.
Freedom Flotilla Coalition (FFC) merupakan gabungan lebih 10 pertubuhan kemanusiaan antarabangsa termasuk MyCARE Malaysia, Ship to Gaza Norway, dan International Committee to Break the Siege of Gaza. Ia ditubuhkan bagi menentang sekatan laut Israel ke atas Gaza melalui pelayaran aman membawa bantuan kemanusiaan.
Misi FFC mula mendapat perhatian dunia sejak tragedi kapal Mavi Marmara pada 2010 apabila tentera Israel menyerang konvoi berkenaan di perairan antarabangsa, mengorbankan beberapa aktivis antarabangsa dan mencetuskan kecaman global.
Bagi misi kali ini, armada TMTG membawa gabungan kapal dari pelbagai negara termasuk kapal utama Conscience yang turut dinaiki sembilan wakil Malaysia terdiri daripada aktivis kemanusiaan, pakar perubatan, wartawan serta ahli akademik.