SHAH ALAM - Petronas bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah tersendiri apabila melancarkan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE) di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.
Inovasi baharu yang merupakan salah satu model bersepadu pertama di dunia itu menggabungkan sumber tenaga boleh diperbaharui luar pesisir dengan sistem penstoran tenaga dan sistem pengurusan tenaga.
Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, Petronas amat menitikberatkan pembangunan mampan untuk kelestarian masa hadapan.
“Sehubungan dengan itu, kami berharap projek ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan generasi akan datang.
“Projek berwawasan ini berfungsi sebagai pembuktian konsep (proof of concept) tenaga boleh diperbaharui campuran dan sebagai hab penyelidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran CEFORE yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod.
Hadir sama, Naib Presiden Kanan Projek, Teknologi & Kesihatan, Keselamatan, Kawalan dan Persekitaran (PT&HSSE), Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof dan Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim.
Tambah beliau, pelancaran berkenaan menandakan satu langkah besar ke arah masa depan tenaga, menyerlahkan komitmen Malaysia dan Terengganu terhadap inovasi dan kelestarian.
“Dengan memanfaatkan sumber kekayaan Terengganu, kami telah membangunkan salah satu penyelesaian luar pesisir pertama di dunia untuk tenaga boleh diperbaharui berterusan.
“Ia sekali gus memperlihatkan keupayaan negara untuk menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi dan berpandangan jauh di peringkat global,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Zamri menegaskan, UMT amat berbesar hati apabila menjadi sebahagian daripada inisiatif luar biasa tersebut.
“CEFORE bukan sahaja memacu perjalanan tenaga boleh diperbaharui negara, malah menyediakan platform kepada universiti membangunkan kursus khusus dalam bidang ini, seterusnya melahirkan bakat masa depan.
“Kolaborasi ini menjadikan CEFORE sebagai model perintis tenaga boleh diperbaharui luar pesisir yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat penjanaan mampan, malah menjadi platform integrasi ilmu, inovasi dan pembangunan kapasiti negara,” ujarnya.
Fasiliti pembuktian konsep yang terletak di perairan Kuala Terengganu tersebut dibangunkan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui yang stabil dan konsisten, berasaskan gabungan tenaga angin luar pesisir, solar serta ombak.
Ia turut dilengkapi sistem penstoran tenaga dan sistem pengurusan tenaga di tapak bagi memastikan bekalan berterusan.
Model inovatif berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa perjalanan negara menuju masa depan tenaga mampan, selari dengan National Energy Transition Roadmap (NETR) dan aspirasi kelestarian negeri dalam melaksanakan agenda rendah karbon.
CEFORE memacu inovasi dan pembangunan bakat, sambil menghubungkan keperluan dunia sebenar dengan penyelesaian berteknologi tinggi.
Dengan kemudahan sedemikian, Petronas melalui Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan UMT sedang memperkasa pembangunan keupayaan tenaga boleh diperbaharui serta program teknikal untuk melahirkan bakat bersedia menghadapi peralihan tenaga.
CEFORE dibangunkan melalui kerjasama erat antara pihak industri, akademia dan rakan teknologi strategik dengan sokongan Arema Energies, Schneider Electric, Citaglobal dan Honeywell.
Selain matlamat teknikal, CEFORE juga dirangka untuk memberi impak bermakna kepada komuniti termasuk menyokong peluang ekonomi untuk komuniti setempat.
Ia merangkumi penyediaan kemudahan penyimpanan sejuk dan pembuatan ais dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui yang diberikan secara percuma kepada nelayan.
Usaha ini diharap dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan sambil mengurangkan pergantungan kepada tenaga konvensional.
CEFORE turut diilhamkan sebagai hab edupelancongan dan pembelajaran awam, membolehkan pengunjung mempelajari teknologi tenaga boleh diperbaharui serta amalan kemampanan.
Ini sejajar dengan komitmen PETRONAS terhadap tanggungjawab sosial dan usaha memperkayakan kehidupan komuniti dalam kawasan operasi syarikat.