SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) melancarkan inisiatif baharu dengan memperkenalkan Reverse Vending Machine (RVM), mesin pintar pertama di negara ini yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan kitar semula.
Melalui mesin itu, orang ramai boleh mengitar semula bahan buangan pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam sehari dan 365 hari setahun tanpa perlu menunggu kutipan atau menghantar ke pusat kitar semula.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, projek itu dilaksanakan melalui kerjasama antara KDEB Services Sdn Bhd dan HMA Digital Malaysia.
"Projek ini seiring dengan usaha kerajaan Selangor meningkatkan kadar kitar semula rakyat kepada 15 peratus menjelang hujung tahun ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama HMA Digital Malaysia dan Pelancaran RVM AI Pintar 5 di sini pada Isnin.
Ramli menjelaskan, mesin RVM itu membolehkan pengguna mendaftar melalui nombor telefon bimbit, memasukkan bahan kitar semula seperti kertas, plastik, aluminium, kotak kertas dan minyak masak terpakai, sebelum mesin itu berfungsi sebagai penimbang dan merekodkan transaksi secara automatik.
"Mesin ini dilengkapi pengesan pintar yang dapat mengesan cubaan penipuan seperti menambah air dalam minyak atau meletakkan objek berat bagi menambah timbangan, selain turut dilengkapi sistem keselamatan dengan CCTV (kamera litar tertutup) bagi mengelak vandalisme," ujarnya.
Tambahnya, pengguna yang menghantar bahan kitar semula akan menerima bayaran secara terus ke akaun bank masing-masing dalam tempoh singkat selepas transaksi dibuat.
"Contohnya, jika bahan kitar semula bernilai RM38, pengguna akan menerima bayaran itu secara automatik terus ke akaun bank.
"Ini salah satu cara kita galakkan rakyat melihat bahawa sisa bukan sampah, tetapi sumber yang bernilai,” jelasnya.
Menurutnya, sebanyak 100 unit mesin RVM akan dipasang di seluruh Selangor pada fasa pertama dengan lokasi tumpuan seperti pejabat kerajaan, pasar raya, dewan komuniti, masjid, rumah ibadat serta kawasan perumahan.
"Setiap mesin boleh menampung sehingga 750 kilogram bahan sehari dan sekiranya penuh, sistem akan memaklumkan pusat kawalan kami untuk kutipan segera.
"Kami berharap masyarakat menggunakan mesin ini dengan betul dan hanya bagi bahan kitar semula yang diterima," ujarnya.
Jelasnya, harga bahan kitar semula yang diterima akan berubah mengikut harga pasaran semasa bagi memastikan keadilan kepada pengguna dan operator.
Tegasnya, inisiatif itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negeri terhadap tapak pelupusan (landfill) serta menyokong pelan tenaga hijau seperti projek tenaga daripada sisa (WTE) di Jeram.
Ramli berharap pelaksanaan mesin RVM itu menjadi langkah penting mengubah sikap masyarakat terhadap pengurusan sisa dan menjadikan budaya kitar semula sebagai amalan harian rakyat Selangor.
"Jika kita dapat capai kadar kitar semula 10 hingga 15 peratus, jumlah sampah yang berakhir di tapak pelupusan dapat dikurangkan secara signifikan.
"Ini bukan saja menjimatkan kos pelupusan tetapi turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
"Sebelum ini, KDEBWM sudah melaksanakan pelbagai program kitar semula termasuk kemudahan Material Recovery Collection Facility (MRCF) dan program kutipan rumah ke rumah,” jelasnya.