Suami maut, isteri dan tiga anak parah kereta dinaiki langgar tiang elektrik

Iklan
Kereta dinaiki lima beranak yang dipercayai melanggar tiang elektrik dalam kejadian di di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22 pada Isnin.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut manakala isterinya serta tiga anak termasuk seorang bayi cedera parah selepas kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu terbabas dan melanggar tiang elektrik di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga FLX yang terbabas dan melanggar tiang elektrik.

"Seorang lelaki berusia 39 tahun tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan pada jam 1.45 petang, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Katanya, seorang wanita berusia 38 tahun serta tiga anak perempuan masing-masing berumur 7 tahun, 4 tahun dan seorang bayi berusia 7 bulan mengalami kecederaan parah.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Kes melibatkan mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.