KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa membetulkan salah faham banyak pihak mengenai status Kampong Bharu, Kuala Lumpur yang sering dianggap sebagai suatu kawasan yang diwartakan sebagai tanah Rizab Melayu.
Beliau sebaliknya menjelaskan, ia merupakan kawasan yang dirizabkan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement (MAS) dan diwartakan pada 12 Januari 1900.
Menurutnya, ia menggunakan peruntukan seksyen 6, Enakmen Tanah 1897 melalui Kaedah-Kaedah M.A.S (Kuala Lumpur) 1950 serta tidak tertakluk kepada Enakmen Rizab Melayu.
“Tanah ini mempunyai sekatan kepentingan yang tidak membenarkan orang bukan Melayu memiliki serta menghuni.
"Selain itu, tanah di kawasan Kampong Bharu mempunyai endorsan atau sekatan MAS pada hak milik tanah.
“Manakala Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur adalah tertakluk di bawah peruntukan Enakmen Rizab Melayu [F.M.S Cap 142], sebagaimana terpakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Perintah (Ubahsuaian Enakmen Rizab Melayu) Wilayah
"Persekutuan 1974 [P.U.(A) 60/1974]), yang menetapkan bahawa Tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki, dipindah milik atau dipajakkan kepada orang Melayu sahaja,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang bertanyakan cabaran ketara terhadap pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampong Bharu.
Tambah Dr Zaliha, sehingga tahun 2025, jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah seluas 2,480 ekar atau 1,004 hektar yang merangkumi Rizab Melayu Segambut dan Rizab Melayu Selayang di dalam Mukim Batu.
Selain itu, Rizab Melayu Sungai Penchala dan Rizab Melayu Taman Desa di dalam Mukim Kuala Lumpur serta Rizab Melayu Gombak di dalam Mukim Setapak.
Jelasnya, pembangunan semula di kawasan tanah rizab Melayu mempunyai pelbagai cabaran yang kompleks dalam melaksanakannya.
“Cabaran-cabaran ini bukan sahaja melibatkan aspek teknikal dan fizikal, malah turut merangkumi isu pemilikan tanah, persetujuan pembangunan, nilaian hartanah, persepsi masyarakat setempat dan nilai warisan budaya.
“Faktor pemilikan tanah yang ramai menyukarkan persetujuan yang menyeluruh dapat dicapai. Sebahagian tanah rizab Melayu merupakan tanah pusaka yang telah diwarisi sejak turun-temurun daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya,” jelasnya.
Ujar beliau, keadaan itu menyebabkan satu lot tanah dimiliki oleh puluhan hingga ratusan individu, ada yang pemilikan bertindih sehingga 256 orang dalam 1 lot seluas 8,700 kaki persegi yang berdaftar sebagai pemilik bersama.
Katanya, sekiranya terdapat seorang pemilik tidak bersetuju dengan tawaran pembangunan, ia boleh menggagalkan proses urus niaga atau pembangunan semula yang dicadangkan.
“Nilai pasaran masa hadapan tanah rizab Melayu dianggap terhad kerana sekatan kepentingan melarang pindah milik kepada bukan Melayu, yang secara langsung membataskan minat pelabur dan pasaran hartanah terhadap unit siap yang akan dijual.
“Sedangkan, kebanyakan kawasan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur terletak di lokasi yang strategik dan akan menelan kos pembangunan yang tinggi sekiranya hendak dimajukan, contohnya di rizab Melayu Sungai Penchala.
“Satu lagi cabaran dalam pembangunan tanah rizab Melayu adalah bagaimana untuk menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan pemeliharaan nilai warisan budaya, terutamanya di kampung tradisi yang sinonim dengan warisan Melayu yang kaya dengan sejarah, tradisi dan identiti komuniti setempat,” jelasnya.
Justeru, beliau menyatakan bahawa pembangunan Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur perlu dijalankan secara lestari dan inklusif, dengan pendekatan yang menyeluruh dan sensitif terhadap aspek budaya, ekonomi dan undang-undang, serta dilaksanakan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan secara telus dan berterusan.