PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Malaysia akan meneliti cadangan Pakistan untuk mengeksport daging ke negara ini sebagai salah satu bentuk kerjasama dagangan baharu yang mampu memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu antara fokus utama dalam perbincangan bersama rakan sejawatnya, Muhammad Shehbaz Sharif, sempena lawatan negara Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia selama tiga hari bermula Ahad.
“Kita akan melihat perkara ini dan seperti saya katakan, jika harganya kompetitif dan mereka menyebut nilai eksport sehingga AS$200 juta, kita akan teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara di sini pada Isnin.
Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada komitmen kedua-dua negara untuk memperluas jaringan perdagangan dan memperkukuh daya saing serantau, selain membuka peluang kerjasama strategik dalam sektor lain yang berpotensi tinggi.
Antara MoU yang ditandatangani termasuk pertukaran nota antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) dan Akademi Perkhidmatan Luar Pakistan mengenai kerjasama dalam bidang latihan diplomat.
Turut dimeterai, MoU antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Islam Pakistan dalam bidang pendidikan tinggi, pelancongan serta pensijilan halal, yang disifatkan sebagai pemangkin ke arah memperkukuh saling pengiktirafan piawaian halal antara kedua-dua negara Islam itu.
Selain itu, MoU mengenai kerjasama dalam membanteras dan mencegah rasuah turut ditandatangani, mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak memperkukuh integriti dan tadbir urus baik.
Kerjasama ekonomi turut diperluas melalui MoU antara Pihak Berkuasa Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEDA) Pakistan dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia) bagi merancakkan pertumbuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Anwar berkata, hubungan Malaysia–Pakistan bukan sekadar berasaskan sejarah, tetapi digerakkan oleh keyakinan terhadap potensi kerjasama baharu dalam pelbagai sektor.
“Kita percaya hubungan Malaysia dan Pakistan tidak hanya berasaskan sejarah, tetapi kepada keyakinan bahawa sinergi antara kedua-dua negara mampu membuka ruang baharu dalam bidang ekonomi dan pembangunan manusia,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa ruang kerjasama antara kedua-dua negara akan diperluas dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi digital, inovasi serta industri semikonduktor yang dilihat sebagai bidang berimpak tinggi.
“Saya melihat sektor ini sebagai sempadan baharu kerjasama. Pakistan antara negara Islam yang menunjukkan potensi besar dalam bidang berkenaan, dan kini dengan kestabilan yang kita capai di Malaysia, kita akan mengambil peluang ini dengan lebih serius,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Shehbaz menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Malaysia membuka ruang bagi eksport daging dari Pakistan bernilai AS$200 juta.
“Malaysia telah mengumumkan kuota eksport daging bernilai AS$200 juta dari Pakistan. Saya amat berterima kasih kepada tuan atas pengumuman yang begitu bermurah hati itu.
“Namun, saya juga ingin menjelaskan bahawa kuota eksport daging ke Malaysia ini akan dikawal selia berdasarkan mekanisme harga pasaran serta mematuhi semua pensijilan halal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kastam, makanan dan pengguna Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, Pakistan komited untuk memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan oleh pihak Malaysia bagi memastikan kualiti dan kepercayaan pengguna terus terpelihara.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa kami akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi semua syarat dan ketetapan yang ditetapkan oleh pihak Malaysia.
“Berdasarkan komitmen ini, insya-ALLAH kita bukan sahaja akan mencapai kuota bernilai AS$200 juta ini, malah pada masa akan datang jumlah itu akan terus meningkat dengan ketara.
“Apabila pengguna berpuas hati, saya percaya tiada had kepada potensi yang boleh dicapai,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Shehbaz memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dengan menerima sambutan negara di Kompleks Perdana Putra.
Ketibaan beliau pada jam 9 pagi disambut oleh Perdana Menteri sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai tanda hormat.
Shehbaz kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.