Pemenang ATSN 2025 bawa suara mahasiswa ke luar negara

Iklan
Zambry (empat dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada Zhen Fan yang dinobatkan sebagai penerima ATSN 2025 di sini pada Rabu.

PUTRAJAYA – Kehebatan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ng Zhen Fan Shankar, 26, dalam bidang kepimpinan bukan hanya diiktiraf di peringkat universiti, malah turut membuka peluang buatnya dijemput menyampaikan ucapan di dalam dan luar negara.

Rentetan pencapaian cemerlang itu, Zhen Fan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025, sekali gus mengangkat nama UPSI di peringkat nasional.

Iklan
Iklan

"Saya banyak diberi peluang berucap di sekolah, universiti dan persidangan antarabangsa.

"Dari situ, saya mahu memberikan inspirasi kepada mahasiswa lain agar berani keluar daripada zon selesa," katanya ketika berucap pada Majlis ATSN 2025 di sini pada Khamis.

Iklan

Penganjuran ATSN tahun ini adalah edisi ke-13 selepas kali terakhir diadakan pada 2022.

Sebanyak 11 kategori individu dipertandingkan meliputi kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.

Iklan

Selain itu, ATSN turut menawarkan Anugerah Sinergi Kepimpinan bagi kategori berkumpulan dan empat Anugerah Penghargaan Khas (Menteri Pendidikan Tinggi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi) manakala ATSN merupakan anugerah utama ditawarkan dalam majlis itu.

Pemenang ATSN 2025 menerima trofi eksklusif, sijil pengiktirafan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), wang tunai bernilai RM1,000 hingga RM5,000, geran mobiliti akademik RM2,000 dan tawaran biasiswa.

Zambry bergambar bersama pemenang ATSN 2025 di sini pada Rabu.

Zhen Fan berkata, perjalanan selama lebih 15 tahun dalam dunia kepimpinan banyak membentuk dirinya menjadi pemimpin pada masa ini.

"Saya bermula sebagai pemimpin sejak zaman sekolah lagi dan seterusnya empat tahun bersama MPP (Majlis Perwakilan Pelajar)," ujarnya.

Anak sulung daripada dua beradik kembar itu merupakan penerima biasiswa KPT dan mengakui pengiktirafan itu amanah besar untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Zhen Fan yang juga lepasan ijazah perakaunan UPSI turut berhasrat menjadi pensyarah demi melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis.

"Saya percaya hidup ini singkat dan mahu meninggalkan sesuatu yang boleh dikenang dan bermanfaat untuk generasi akan datang," tambahnya.

Muhammad Hafidz usahawan berjaya

Sementara itu, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Hafidz Shahril Izwan, 21, bersyukur apabila terpilih sebagai pemenang Anugerah Tokoh Usahawan Siswa 2025.

Penuntut tahun tiga Fakulti Pertanian itu berkata, pengiktirafan itu menjadi bukti usaha gigih mengusahakan syarikat percetakan pakaian sejak 2022 akhirnya membuahkan hasil.

"Saya bermula dengan modal hanya RM1,500 dan menguruskannya seorang diri tanpa premis dan pekerja, tapi tahun pertama saja sudah mencatat jualan RM210,000.

"Pada tahun berikutnya, hasil jualan meningkat kepada RM680,000 dan kepada RM1.3 juta pada tahun lalu dan kini kita hampir capai RM1.6 juta," jelas beliau.

Zambry (tengah) beramah mesra bersama sebahagian pemenang ATSN 2025 di sini pada Rabu.

Menurut Hafidz, kejayaan itu hadir selepas pelbagai pengalaman jatuh bangun termasuk kegagalannya dalam perniagaan ternakan ikan tilapia.

"Saya pernah gagal, tapi daripada kegagalan itu saya belajar untuk terus bekerja keras dan tidak mudah putus asa," tambahnya.

Mahasiswa Orang Asli terima anugerah berprestij

Penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Eris Joshan A/L Chew Ho Beng, 22, berkata, dia mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Inklusif Siswa 2025.

Anak jati Kampung Orang Asli di Bidor Perak berkata, pengiktirafan itu amat bermakna kerana buat julung kali mahasiswa Orang Asli menerima anugerah berprestij berkenaan.

"Saya sangat gembira kerana ia membuktikan masyarakat Orang Asli juga mampu berdiri sama tinggi dan bersaing setaraf dengan kaum lain,” katanya.

Eris yang kini menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPNM turut mencatat sejarah sebagai mahasiswa Orang Asli pertama memegang jawatan tertinggi mahasiswa di peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Ramai beranggapan mahasiswa Orang Asli hanya pergi ke kelas, balik ke bilik dan makan di kafe, tetapi melalui platform ini, saya buktikan kami juga mampu menyumbang, memimpin dan membawa perubahan kepada komuniti," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, semua finalis itu bukan sahaja cemerlang di kampus, malah berpotensi besar untuk menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Beliau berkata, mereka yang dipilih menunjukkan watak, karakter dan daya kepimpinan hebat sehingga layak berada di pentas penghargaan itu.

"Mereka yang berada di sini sudah mencapai tahap kepimpinan tinggi, walaupun hanya seorang dipilih sebagai penerima utama, semua finalis adalah antara terbaik dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara," katanya.