Glenn Hoddle anggap Arsenal tiada aura juara

Iklan
Gyokeres (kanan) gagal meledak dalam lima aksi terakhir Arsenal.

BEKAS pengurus England, Glenn Hoddle berpandangan Arsenal masih belum memiliki ramuan lengkap untuk menamatkan penantian kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), meskipun skuad kendalian Mikel Arteta itu dilihat antara pasukan paling seimbang musim ini.

Menurut Hoddle, kelemahan utama The Gunners ketika ini ialah ketiadaan penyerang 'No.9' yang benar-benar konsisten menjaringkan gol, sekali gus menjadi penghalang utama dalam usaha mereka mengekalkan momentum ke arah kejuaraan.

Iklan
Iklan

“Arsenal mempunyai segalanya untuk memenangi liga iaitu barisan pertahanan kukuh, pasukan yang tersusun serta pemain kreatif di bahagian serangan.

“Namun, satu-satunya elemen yang masih hilang ialah penyerang 'No.9' yang mampu menyempurnakan peluang berulang kali,” katanya.

Iklan

Hoddle turut menyentuh prestasi penyerang baharu Arsenal, Viktor Gyokeres yang dibawa masuk dari Sporting CP.

Gyokeres gagal menyerlah apabila melanjutkan kemarau golnya kepada lima perlawanan berturut-turut, termasuk ketika Arsenal menewaskan West Ham 2-1 di Emirates pada Sabtu.

Iklan

Dalam perlawanan tersebut, jaringan Arsenal hanya hadir menerusi Declan Rice dan Bukayo Saka.

Kemenangan ke atas West Ham menyaksikan Arsenal mendahului Liverpool dengan satu mata di tangga teratas selepas The Reds tumbang 1-2 kepada Chelsea.

Pun begitu bagi Hoddle, Arsenal masih perlu membuktikan mereka mempunyai ketajaman di depan gawang untuk benar-benar layak digelar pencabar utama kejuaraan pada musim ini.