SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengambil maklum dan membaca kenyataan media dikeluarkan Ahli Dewan Diraja Selangor, Tan Sri Ambrin Buang berhubung isu pembangunan di Kampong Bharu khususnya di Kampung Sungai Baru.
Kenyataan itu dikongsi Selangor Royal Office pada Khamis memaklumkan, surat bertarikh 1 Oktober tersebut disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin dan kenyataan penuh Ambrin turut dikongsi dalam platform berkenaan.
Menerusi kenyataannya, Ambrin yang juga anak jati Kampong Bharu dan bekas Ketua Audit Negara serta Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Sultan Selangor terhadap isu melibatkan kawasan bersejarah itu.
Beliau turut menjunjung kasih atas titah baginda melalui kenyataan media pada 18 September lalu yang menegaskan kepentingan memelihara maruah dan hak pemilikan tanah orang Melayu di Kampong Bharu di samping memastikan pembangunan di kawasan itu mengambil kira kepentingan komuniti Melayu bandar.
Menurut Ambrin, beliau bersama beberapa anak jati Kampong Bharu dan pegawai kanan kerajaan negeri Selangor dijemput menghadap bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan di kawasan itu termasuk Kampung Sungai Baru yang kini menjadi perhatian umum.
"Saya merakamkan penghargaan kepada Tuanku (Sultan Selangor) atas keprihatinan baginda terhadap nasib penduduk Kampong Bharu dan Kampung Sungai Baru serta kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan penuh terhadap pendirian Tuanku,” katanya.
Ambrin berkata, berdasarkan kajian dan semakan sejarahnya, tanah Kampong Bharu yang diwartakan sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS) sejak 1900 adalah hasil kurniaan Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah dan kekal sebagai kawasan penempatan orang Melayu hingga kini.
Beliau menjelaskan, kawasan Kampung Sungai Baru wajar diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada tanah MAS memandangkan lokasinya terletak di tebing kanan Sungai Klang seperti yang dinyatakan dalam pewartaan 16 Februari 1932.
Katanya, selepas Sungai Klang diluruskan pada tahun 1967 terbentuk tanah baharu seluas 6.644 hektar yang kedudukannya masih di bawah definisi pewartaan MAS, namun tidak pernah diwartakan semula secara rasmi.
"Pada pandangan saya, kerajaan ketika itu seharusnya mewartakan semula tanah lebihan itu sebagai tanah MAS.
"Hasrat asal Almarhum Sultan Selangor agar orang Melayu memiliki penempatan di pusat bandar Kuala Lumpur perlu dikekalkan," tambah beliau.
Sehubungan itu, Ambrin mencadangkan kerajaan Persekutuan meneliti semula perkara itu dan mewartakan Kampung Sungai Baru sebagai tanah MAS bagi memastikan kepentingan orang Melayu terus terpelihara.
"Kedudukan tanah ini amat strategik dan bernilai tinggi. Jika penjualan dilakukan secara terbuka kepada bukan Melayu, orang Melayu tidak akan mampu memiliki tanah di kawasan ini.
"Sudah sampai masanya kerajaan membetulkan keadaan demi kesinambungan warisan Melayu di jantung Kuala Lumpur,” katanya.