Tiru gaya idola, wanita hidap penyakit buah pinggang akibat pewarna rambut

Iklan
Seorang wanita di China menghidap penyakit buah pinggang selepas terlalu kerap mewarnakan rambut bagi meniru gaya selebriti kegemarannya.

BEIJING - Seorang wanita di China menghidap penyakit buah pinggang selepas mewarnakan rambut setiap bulan semata-mata mahu meniru gaya rambut selebriti kegemarannya.

Laporan stesen televisyen Henan TV mendedahkan wanita berusia 20 tahun yang hanya dikenali sebagai Hua dari wilayah Henan itu mula menunjukkan simptom seperti bintik merah pada kaki, sakit sendi dan sakit perut sebelum disahkan menghidap radang buah pinggang.

Iklan
Iklan

Menurut Dr Tao Chenyang dari Hospital Rakyat Zhengzhou, Hua dilaporkan menukar warna rambutnya hampir setiap bulan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan gaya rambut idolanya.

“Bahan kimia dalam pewarna rambut mengandungi toksin yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, masalah pernafasan dan meningkatkan risiko kanser,” katanya sambil menjelaskan bahawa pewarna rambut turut mengandungi logam berbahaya seperti plumbum dan merkuri.

Iklan

Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China apabila ramai warganet menuding jari kepada budaya K-pop yang sering mempopularkan perubahan warna rambut ekstrem sebagai imej promosi artis.

“Tiada idola yang berbaloi untuk diikuti hingga memudaratkan kesihatan,” tulis seorang pengguna Weibo.

Iklan

Fenomena ini bukan kali pertama mencetuskan perhatian di China. Sebelum ini, beberapa individu dilaporkan sanggup mengejar kenderaan artis kegemaran mereka hingga membahayakan diri. – Agensi