Tekanan antarabangsa buat Israel setuju bebaskan aktivis GSF

Iklan
Aktivis Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Istanbul dengan penerbangan khas di Istanbul, Turki pada Sabtu. Foto Reuters

SHAH ALAM - Kritikan dan tekanan bertali arus daripada masyarakat antarabangsa, negara Islam serta Barat terhadap kekejaman Israel antara faktor penyumbang rejim Zionis itu bersetuju membebaskan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk 23 rakyat Malaysia.

Penganalisis Hubungan Politik Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, kebersamaan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sokongan padu Eropah dan pengumpulan veto menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mungkin membuatkan rejim Israel bimbang tentang penahanan aktivis terlalu lama.

Iklan
Iklan

Selain itu menurut beliau, keakraban Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin dunia luar termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan juga menjadi pemangkin kepada usaha pembebasan.

“Sebab itulah kita dapat lihat proses membawa pulang rakyat Malaysia sangat cepat berbanding siri-siri misi kemanusiaan sebelum ini yang kebiasaannya lambat.

Iklan

“Ini menggambarkan bahawa proses rundingan dapat dilakukan dengan pantas apabila pemimpin negara mempunyai hubungan baik sesama mereka meskipun Malaysia tiada jalinan diplomatik dengan Israel.

“Sekiranya tiada tindakan dalam tempoh 48 jam yang kritikal ini, berkemungkinan tempoh penahanan menjadi lebih lama. Israel pasti guna apa sahaja cara untuk melambat-lambatkan (proses) termasuk menakut-nakutkan aktivis supaya mereka lebih berhati-hati menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Palestin pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa usaha Perdana Menteri membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan GSF daripada tahanan rejim Israel membuktikan keberhasilan dan kekuatan diplomasi Madani.

Saifuddin memberitahu, kejayaan itu menunjukkan kekuatan diplomasi yang berpaksikan prinsip kemanusiaan, keadilan dan maruah rakyat.

Hasil rundingan melibatkan pelbagai negara termasuk Turkiye, Qatar, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat (AS).

Ahmad Martadha berpandangan, usaha membebaskan dan membawa pulang wira negara tidak mampu direalisasikan jika tiada penglibatan banyak pihak.

“Kita memang memerlukan kerjasama, kekuatan diplomasi dan hubungan baik dengan negara terlibat kerana ini bukan usaha satu pihak semata-mata.

“Kejayaan membawa pulang kesemua delegasi juga dipacu oleh kekuatan ketenteraan yang dimiliki Turkiye menjadikan segala proses berjalan lancar,” ujarnya.