FFC x TMTG: Kapal Conscience berhenti seketika tunggu 10 kapal lain

Iklan
Kapal Conscience kini dilaporkan hanya berbaki kira-kira 270 batu nautika daripada memasuki perairan Gaza.

SHAH ALAM – Kapal Conscience yang mengetuai pelayaran misi Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dilaporkan berhenti seketika bagi menunggu 10 lagi kapal yang turut serta dalam armada tersebut.

Aktivis kemanusiaan, Dr Fauziah Hasan yang berada di atas kapal itu berkata, perhentian sementara dibuat bagi memastikan semua kapal dalam konvoi dapat berkumpul sebelum meneruskan perjalanan menuju ke perairan Gaza.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau kini bertugas sebagai salah seorang anggota steering committee di atas kapal Conscience, yang bertanggungjawab memastikan keselamatan serta keselesaan semua peserta sepanjang pelayaran.

“Saya penuh dengan mesyuarat sejak semalam hingga ke pagi dan tengah hari ini kerana terlibat dalam jawatankuasa yang mengurus keselamatan serta keselesaan semua kru dan peserta.

Iklan

“Kapal Conscience kini berhenti seketika untuk memberi ruang kepada rakan-rakan kita dari Thousand Madleens mengejar kedudukan kami. Insya-ALLAH, selepas bertemu semula, kami akan teruskan pelayaran ke arah Gaza,” katanya dalam video yang dikongsi di TikToknya sejam yang lalu pada Ahad.

Misi kemanusiaan itu kini dilaporkan hanya berbaki kira-kira 270 batu nautika daripada memasuki perairan Gaza.

Iklan

Dalam pelayaran terbaharu ini, sembilan delegasi Malaysia menyertai armada tersebut yang terdiri daripada pakar perubatan, pakar undang-undang antarabangsa, wartawan dan aktivis kemanusiaan.

Kesemua mereka berlayar bersama lebih 70 aktivis dari 20 negara di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) serta gerakan masyarakat antarabangsa Thousand Madleens to Gaza (TMTG).

Misi FFC x TMTG itu dilancarkan bagi meneruskan usaha membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan akibat sekatan dan serangan berterusan rejim Zionis.

Sejak pelayaran dimulakan, kapal Conscience menjadi tumpuan utama kerana membawa sebahagian besar pasukan pengurusan serta penyelaras antarabangsa bagi misi tersebut.

Gabungan FFC sebelum ini pernah mengemudi pelayaran serupa sejak 2010 dan menjadi simbol solidariti dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Misi kali ini disifatkan paling besar dalam sejarah Freedom Flotilla sejak tragedi Mavi Marmara, dengan penyertaan aktivis dari pelbagai latar belakang termasuk doktor, ahli akademik, dan wartawan bebas dari seluruh dunia.