JOHOR BAHRU – Keputusan menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan dibuat secara eksklusif oleh Malaysia sebagai tuan rumah, sebaliknya hasil persetujuan sebulat suara semua pemimpin ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara oleh kesemua 10 negara anggota ASEAN untuk mengadakan sidang kemuncak dengan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat.
“Ini bukan keputusan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi keputusan sebulat suara seluruh 10 pemimpin negara ASEAN untuk mengadakan sidang kemuncak dengan rakan dialog kita dan Trump ialah Presiden AS.
“Namun ini tidak menghentikan pendirian (tidak setuju) kita jika ada campur tangan dari AS terhadap apa yang berlaku di Gaza, Palestin. Pendirian itu tidak mengubah kedudukan kita. Secara rasionalnya, Pengerusi ASEAN, Malaysia harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Skuad YPM peringkat negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada isu kehadiran Trump akan dibahas di Parlimen, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tidak menolak kemungkinan ahli Parlimen akan membahaskan isu tersebut.
“Ya, mungkin ada ahli Parlimen yang akan membahaskan isu ini dan mereka boleh berbuat demikian tetapi kita harus menghormati keputusan yang dibuat sekretariat ASEAN, terutama keputusan yang dibuat 10 pemimpin ASEAN.
“Kali ini, Sidang Kemuncak ke-47 akan menerima Timor-Leste sebagai negara ke-11 yang akan menganggotai ASEAN,” katanya.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia menyatakan harapan untuk mengadakan perbincangan lebih terbuka bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN–AS dalam usaha menjamin hak rakyat Palestin sebagai sebuah negara berdaulat serta bermaruah.
Ketegasan sama turut dizahirkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilaporkan berkata, jemputan kepada Donald Trump ke Kuala Lumpur adalah sebagai rakan dialog untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan bukan jemputan hubungan dua hala Malaysia–AS.
Jelas Mohamad lagi, Malaysia tidak mempunyai hak untuk menolak atau memilih ketua negara yang akan dijemput sambil menyifatkan tindakan demikian sebagai diplomasi yang salah, selain ASEAN memiliki kekuatan tersendiri iaitu prinsip berkecuali yang menjadi teras utama.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober 2025, dengan beberapa pemimpin dunia dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka hadir.
Sebelum ini, beberapa individu termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta beberapa persatuan termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan agar membatalkan jemputan kepada Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.