ISTANBUL – Seorang sukarelawan warga emas Global Sumud Flotilla (GSF) berkongsi kisah layanan buruk yang diberikan tentera Israel semasa berada dalam penjara.
Menurut Margaret Pacetta, 70, dari Glasgow, Scotland, keadaan penjara yang menempatkan sukarelawan dan aktivis kemanusiaan itu 'cukup dahsyat'.
“Tiada makanan, air. Layanan mereka cukup teruk kepada kami.
“Kaki saya tercedera dan seorang tentera wanita bertanyakan tentang keadaan kaki, tetapi apabila saya menjawabnya, dia menghempas pintu besi. Itu sangat teruk,” kongsinya pada Sabtu.
Margaret merupakan aktivis Scotland yang lantang memperjuangkan nasib Palestin sejak 22 tahun lalu.
Setiap Sabtu sepanjang tahun, beliau bersama kumpulan hak asasi di bandar Glasgow turun ke jalanan bagi memberikan penerangan dan memperjuangkan isu Palestin.
Pada Sabtu, seramai 137 daripada 462 sukarelawan GSF dari beberapa negara yang ditahan telah dibebaskan dengan bantuan Kerajaan Turkiye.
Negara terbabit antaranya Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan serta Malaysia.