PU Rahmat gesa boikot Israel, dakwa layanan ‘sangat teruk’ di penjara Ketziot

Iklan
PU Rahmat ketika ditemu bual media antarabangsa di Istanbul, Turkiye. Foto Ihsan pembaca

SHAH ALAM – Peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat meminta masyarakat untuk terus memboikot Israel berikutan tindakan kejam rejim Zionis terhadap tahanan.

Pendakwah bebas itu berkata, mereka menerima layanan buruk sepanjang berada di Penjara Ketziot di Israel.

Iklan
Iklan

“Sangat-sangat teruk, tidak baik dan kita perlu terus boikot Israel,” katanya ketika ditemu bual media antarabangsa di Istanbul pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye yang memberi layanan baik kepada peserta GSF selepas tiba di negara itu.

Iklan

“Terima kasih kepada Turkiye atas penginapan dan sokongan yang baik. Kami dari Malaysia sayang anda dan teruskan kebebasan Palestin,” katanya ringkas.

PU Rahmat yang menaiki kapal Estrella ketika pelayaran GSF bersama 22 lagi sukarelawan Malaysia selamat tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.

Iklan

Mereka menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon di Eilat, Israel, dan tiba di Istanbul pada jam 3.40 petang waktu tempatan.

Khamis lalu, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa Gaza.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusyai Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang (kapal Inana); Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abduliah (kapal Fair Lady); serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Harogs, Muhd Haikal Lugman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Israel kini berdepan kecaman antarabangsa susulan serangan terhadap misi kemanusiaan itu yang menyaksikan tenteranya memintas lebih 40 buah kapal membawa bantuan ke Gaza dan menahan lebih 450 orang di atas kapal.

Flotila yang dilancarkan sejak hujung Ogos lalu merupakan usaha antarabangsa terkini bagi memecahkan kepungan Israel dan menghantar bantuan kepada rakyat Palestin.