SEREMBAN – Langkah kerajaan meminta semua 23 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) menandatangani borang 'request for immediate departure' atau permohonan pelepasan segera bukan bermaksud meminta mereka menyerah kalah, sebaliknya bertujuan memudahkan prosedur membawa mereka pulang.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sekiranya peserta tidak menandatangani borang tersebut mereka berkemungkinan akan ditahan lebih lama oleh pihak berkuasa Israel.
“Ramai yang tidak faham apabila mereka mengkritik dan mengutuk cadangan saya supaya peserta GSF ini menandatangani borang pelepasan.
“Ini memang sudah menjadi prosedur operasi standard sebelum mereka menyertai misi ini. Ia merupakan salah satu syarat yang telah diberitahu oleh pihak sekretariat kerana kita sudah menjangkakan mereka akan ditahan seperti mana misi Flotilla yang lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad di Sendayan pada Ahad.
Jelas beliau, apabila peserta menandatangani borang tersebut, mereka tidak perlu melalui proses perundangan yang rumit dan boleh segera dibebaskan.
Tambahnya, proses itu turut dibantu oleh negara-negara sahabat antaranya Turkiye, Jordan dan Mesir.
“Jadi, proses ini diringkaskan dengan kita minta supaya semua peserta menandatangani borang dengan mengakui bahawa mereka memasuki kawasan Israel secara tidak sah.
“Apabila mereka membuat pengakuan tersebut, maka mereka boleh dihantar keluar segera dari Israel dan ini memudahkan kita untuk menguruskannya,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap masyarakat tidak salah faham terhadap gesaan supaya peserta GSF menandatangani borang terbabit.
“Jangan silap faham. Kita bukan mengatakan orang tertuduh itu mengalah atau menyerah kalah,” tegasnya.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa misi GSF berkenaan bukanlah misi keganasan, sebaliknya misi keamanan bagi membantah kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.
Katanya, perkara itu dibuktikan apabila tiada sebarang senjata ditemui di dalam kapal-kapal yang dinaiki peserta misi berkenaan.
“Jadi, ia memudahkan lagi untuk kita keluarkan rakyat kita yang ditahan. Ini adalah diplomasi senyap yang telah dilakukan sebaik mungkin.
“Yang penting, kita dapat keluarkan rakyat kita dengan segera dan selamat,” katanya.
Ditanya mengenai lapan sukarelawan rakyat Malaysia yang kini menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG), Mohamad berkata, kaedah sama akan digunakan sekiranya mereka turut ditahan.
“Kita tidak tahu berapa lama mereka akan ditahan dan bagaimana keadaan penjara di sana.
“Jadi, adalah lebih baik tandatangan (borang) dan janganlah pula tuduh kerajaan atau saya sendiri dengan mengatakan bahawa kita mengalah atau menyerah kepada Israel,” katanya.
Mohamad menegaskan, tugas beliau sebagai Menteri Luar adalah untuk memastikan semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut dapat dibawa pulang dengan segera dan selamat.