Berlin– Lapangan Terbang Munich, Jerman terpaksa menghentikan operasi penerbangan buat kali kedua dalam tempoh 24 jam selepas beberapa laporan penampakan dron yang belum dapat disahkan kesahihannya.
Dalam satu kenyataan, pihak pengurusan lapangan terbang memaklumkan bahawa semua penerbangan dihentikan pada kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan, menyebabkan lebih 6,500 penumpang terjejas.
Menurut laporan BBC, sekurang-kurangnya 17 penerbangan turut dibatalkan malam sebelumnya atas sebab yang sama.
Insiden ini adalah sebahagian daripada siri gangguan penerbangan di Eropah dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang dikaitkan dengan kehadiran dron tidak dikenali di ruang udara awam dan lokasi strategik.
Sementara itu, pihak berkuasa di Belgium turut menyiasat laporan berasingan berkenaan 15 dron yang dikatakan kelihatan terbang di atas kawasan ketenteraan Elsenborn, berdekatan sempadan Jerman.
Dron tersebut dilaporkan bergerak merentasi sempadan ke bandar kecil Duren di Jerman, yang mana ia turut dikesan oleh pihak polis tempatan.
Sehingga kini, belum ada sebarang pengesahan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap operasi dron tersebut mahupun tujuan sebenar mereka.
Menurut agensi berita Reuters, Lapangan Terbang Munich dijangka memulakan semula operasinya secara berperingkat namun pihak lapangan terbang memberi amaran kemungkinan gangguan akan terus berlaku sepanjang hari.
Menteri Dalam Negeri Jerman, Alexander Dobrindt menyatakan, isu keselamatan berkaitan dron akan dibangkitkan dalam mesyuarat Menteri Dalam Negeri Eropah pada Sabtu, yang pada asalnya dijadualkan membincangkan isu migrasi.
Beliau juga berikrar akan mempercepatkan penggubalan undang-undang yang membolehkan pihak polis mendapatkan bantuan tentera bagi menembak jatuh dron yang mengancam keselamatan awam.- Agensi