SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir al-Nuri memasang niat untuk menerbitkan buku baharu berjudul Sumud Nusantara: Behind The Scene (BTS).
Beliau berkata demikian selepas 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bebas dari tahanan rejim Israel dan diterbangkan ke Istanbul sebelum pulang ke tanah air.
Nadir atau nama penuhnya Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzaman turut berkongsi kerinduan terhadap adiknya, Musa Nuwayri yang merupakan salah seorang aktivis GSF merangkap pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM).
“Rindu juga pada adik seorang ini. Iyalah, kami adik-beradik jantan (lelaki) tiga orang sahaja dan yang ini (Musa Nuwayri) sama ikut jejak saya buat kerja-kerja kemanusiaan, tetapi untuk bantu orang Syria.
“Cuma jalan mulanya sama, nampak isu tak nampak solusi tapi ‘be the solution’.
"Alhamdulillah dari seorang budak yang agak nakal di Maahad Muhammadi Kelantan, jadi manusia berguna kepada ummah.
“Musa pun lagi awal menulis buku pertama daripada saya iaitu Lelaki Terakhir Menangis di Bumi. Tetapi, sudah jadi buku terakhir ditulis di bumi... Sampai sekarang tak keluar lagi buku baharu,” selorohnya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, pesawat membawa aktivis GSF yang diserang dan ditahan Israel di perairan antarabangsa, selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul.
Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di Eilat, Israel itu tiba di lapangan terbang berkenaan pada 3.50 petang waktu tempatan, lapor Anadolu Ajansi.
Seramai 137 orang keseluruhannya termasuk 36 warga Turkiye dan 23 rakyat Malaysia.
Ketibaan para aktivis disambut oleh pegawai dan orang ramai di lapangan terbang.
Selain warga Turkiye dan Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang dari Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia serta Jordan.
Sementara itu, menerusi siaran langsung TRT Haber, kelibat rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dirakam turun dari pesawat Turkish Airlines bersama aktivis Turkiye yang lain.
Antaranya ialah Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik dan Pu Rahmat Ikhsan yang dilihat gembira turun daripada pesawat sambil melambaikan tangan ke arah pengamal media serta orang awam.
Peserta lain seperti Ardell Aryana, Hazwani dan Heliza Helmi, Musa Nuwayri, Haroqs, Ilyia Balqis turut kelihatan berada di dalam pekarangan lapangan terbang sambil wartawan menemu bual Zulfadhli Khairudin.
Kesemuanya tampak tenang dan tersenyum sebaik menjejakkan kaki di bumi Istanbul selepas dibebaskan rejim Israel.