GSF: Delegasi Malaysia dijadual berlepas pulang ke tanah air Isnin ini - KP SNCC

Iklan
Kesemua 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Turkiye pada Sabtu. Foto FB Mohamad Hasan

SEPANG - Kesemua 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka berlepas pulang ke tanah air seawal Isnin selepas menempuh pelbagai cabaran termasuk ditahan rejim Israel ketika dalam pelayaran membawa bantuan ke Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada jam 8.40 malam selepas diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon pada jam 6.40 petang waktu tempatan.

Iklan
Iklan

"Semua selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul dan mereka disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta kerajaan Turkiye.

"Mereka akan bermalam di Istanbul di bawah jemputan dan tajaan kerajaan Turkiye sebelum pulang ke tanah air menggunakan penerbangan Turkish Airlines yang juga ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye," katanya.

Iklan

 

Sani Araby ketika sidang media di Mapim Central Warehouse, Sepang, Sabtu.

Iklan

Beliau berkata sedemikian ketika sidang media di Mapim Central Warehouse, Sepang pada Sabtu.

Menurut beliau, SNCC menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Malaysia atas kepimpinan dan keprihatinan tinggi dalam menggunakan hubungan diplomatik antarabangsa sehingga berjaya membawa pulang 23 rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Sani Araby berkata, empat aktivis termasuk Nadir Al-Nuri bersama beberapa wakil lain turut berlepas ke Istanbul bagi menyertai semula aktivis Malaysia di sana.

"Empat delegasi termasuk Tuan Nadir dan sahabat-sahabat lain akan bersama delegasi di Istanbul. Dua lagi wakil yang digerakkan ke Jordan, manakala lima peguam dari Amman juga akan bersama di Istanbul nanti," katanya.

Sani Araby turut memaklumkan bahawa beliau sendiri akan berlepas ke Istanbul sebagai wakil penyambung bagi pihak Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia untuk menyelaras persiapan kepulangan delegasi serta persediaan misi gelombang kedua.

"Saya diminta oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menjadi wakil penyambung di Istanbul. Insya-ALLAH, kita akan memastikan semua urusan berjalan lancar dan delegasi dapat pulang dengan selamat," tambahnya.

Kongsi beliau, aktivis terlibat dijangka pulang ke tanah air seawal Isnin atau Selasa, selepas berehat di Istanbul sebelum kembali ke Malaysia.

Dalam pada itu, Sani Araby memberitahu, seramai 137 daripada 462 peserta flotila dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Perancis, Switzerland, Jordan dan Malaysia turut dibebaskan hasil bantuan kerajaan Turkiye.

Justeru, beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan baki peserta global yang masih ditahan serta melaksanakan solat hajat memohon agar perang dapat dihentikan segera.

Tegasnya, ketika ini adalah masa untuk seluruh rakyat bersatu hati, mendokong keamanan dan pembebasan Gaza sebagai simbol perpaduan ummah tanpa mengira bangsa dan agama.