SHAH ALAM - Jemputan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bukan tanda Malaysia mengalah dan tunduk dalam menyuarakan isu kekejaman Israel terhadap Palestin.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, sebaiknya ia membuka peluang kepada negara untuk menyampaikan hujah secara berdepan mengenai perkara itu.
"Ia (jemputan terhadp Trump) adalah pintu. Pintu untuk menegakkan hujah kita. Pintu untuk menyampaikan hujah bahawa sokongan membabi buta Amerika Syarikat kepada Israel menyebabkan Israel berani melakukan genosid di Gaza.
"Kali ini, kita ada peluang bercakap mata bertemu mata, hujah bertemu hujah," katanya menerusi kenyataan di Facebook yang mengulas mengenai desakan beberapa pihak supaya kerajaan menarik balik jemputan kepada Trump.
Desakan itu disuarakan atas alasan AS yang menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin tidak wajar diberi muka dengan layanan diplomatik.
Abdul Rahman menjelaskan, jemputan tersebut tidak dibuat dalam konteks penyelesaian isu Palestin-Israel, sebaliknya dalam konteks Sidang Kemuncak ASEAN serta perbincangan berkaitan isu perdagangan dan tarif antara AS dan negara-negara ASEAN yang masih belum dimuktamadkan secara mutlak.
"Adalah penting bagi Malaysia dan ASEAN untuk menggunakan setiap peluang yang ada bagi meyakinkan Trump bahawa rejim tarif yang dilaksanakan oleh pentadbirannya terhadap negara-negara ASEAN adalah tidak adil, berat sebelah serta memberi impak negatif kepada rakyat di rantau ini.
"Semua orang tahu Trump boleh dan pernah mengubah pendiriannya pada saat-saat akhir apabila beliau mendengar sendiri hujah dan fakta secara langsung daripada pimpinan negara-negara lain. Itulah harapan kita dengan kehadiran Trump di Sidang Kemuncak ASEAN nanti," ujarnya.
Selain itu, katanya, adalah tidak adil dan kurang manis sekiranya Malaysia menafikan peluang ketua-ketua kerajaan negara ASEAN yang hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN untuk bersemuka serta berbincang dengan Trump.
"Hakikatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini merupakan Pengerusi ASEAN. Jemputan tersebut dibuat dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN, bukannya semata-mata sebagai Perdana Menteri Malaysia," kata beliau.
Abdul Rahman berpandangan, menjemput Presiden AS Ke Malaysia bukanlah suatu perkara baharu malah pada tahun 1966, Presiden Lyndon B Johnson melawat negara ini walaupun ketika itu Malaysia sedar bahawa sepanjang pentadbiran beliau, kezaliman Israel terhadap Palestin sentiasa membara sehingga tercetusnya Perang Enam Hari.
Beliau menambah, presiden-presiden AS sejak dahulu hingga kini juga kerap melawat negara-negara Arab dan pemimpin-pemimpin Arab tetap menyambut mereka dengan tangan terbuka.
"Ini bukan tanda sokongan terhadap dasar AS dalam isu Palestin-Israel, sebaliknya kerana mereka ingin menggunakan kesempatan tersebut untuk menyuarakan pandangan dan ketidakpuasan hati mereka secara terus kepada Presiden AS.
"Seluruh dunia juga tahu bahawa proses perdamaian di Gaza dan Tebing Barat pasti melibatkan peranan besar AS. Suka atau tidak, itulah realitinya.
"Kehadiran Trump di Sidang Kemuncak ASEAN akan memberi ruang kepada negara-negara ASEAN untuk menyampaikan pandangan serta cadangan terhadap kepincangan pelan perdamaian di Gaza dan Tebing Barat, termasuk 'Pelan Perdamaian - 20 Perkara' yang dikemukakan oleh AS sendiri," ujarnya.
Malah, Abdul Rahman menegaskan, tindakan Israel terhadap Global Sumud Flottila dan tuduhan Malaysia menjadi sarang kepada Hamas juga boleh dibincang dengan Trump.
"Maka, mari kita kembali kepada persoalan pokok, apakah sebenarnya yang merisaukan rakyat Malaysia tentang lawatan Trump ke Malaysia? Persoalan mereka ialah adakah pendirian tegas negara dalam menyokong perjuangan Palestin akan luntur atau berubah kerana kehadiran Trump? Sudah tentu jawapannya ialah tidak.
"Malaysia pasti akan terus mempertahankan rakyat Palestin, sama seperti selepas Malaysia menerima kunjungan Johnson, Presiden Barack Obama dan Naib Presiden Al Gore dahulu. Tidak ada yang akan berubah," tegasnya.