YAPEIM, YDSM salur RM550,000 bantu masyarakat sekitar Tasik Kenyir

Iklan
Abdul Khudus (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Peringkat Negeri Terengganu di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada Sabtu.

HULU TERENGGANU - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM550,000 bagi membantu masyarakat memerlukan di sekitar Tasik Kenyir di sini.

Sumbangan itu disalurkan menerusi Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Peringkat Negeri Terengganu yang dianjurkan buat kali ke-14 sejak dilancarkan pada Februari 2023.

Iklan
Iklan

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, pelaksanaan PPKY menumpukan bantuan kepada golongan asnaf, pelajar, usahawan kecil serta penduduk yang memerlukan.

Zabidi (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan sempena Majlis Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Peringkat Negeri Terengganu di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada Sabtu.

Iklan

"Antara bentuk sumbangan yang disalurkan ialah pembinaan dua rumah baharu bernilai RM80,000 seunit menerusi Program Sinar Lestari YAPIEM menjadikan jumlah keseluruhan RM160,000.

"Kita juga menyalurkan bantuan baik pulih premis kediaman bagi tiga keluarga yang menerima RM30,000 setiap unit dengan keseluruhan RM90,000 termasuk RM60,000 sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)," katanya ketika berucap pada majlis perasmian PPKY yang diadakan di Tasik Kenyir, di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof.

Selain itu, katanya, bantuan usahawan meliputi peruntukan RM130,000 iaitu RM100,000 daripada YAPEIM dan RM30,000 daripada MAIWP turut disalurkan.

"Untuk sektor pendidikan, insentif berjumlah RM100,500 kepada 500 pelajar dan 10 sekolah, termasuk RM65,000 untuk 300 pelajar tahfiz turut disediakan.

"Bantuan kebajikan pula melibatkan sebanyak RM69,500 disalurkan kepada kira-kira 500 penduduk meliputi bantuan keperluan asas serta 10 unit kerusi roda," ujar beliau.

Program PPKY yang dilaksanakan selama tiga tahun ini berkonsepkan pendekatan holistik dengan memberi penekanan kepada tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan kemasyarakatan.

Sejak ditubuhkan pada 1985 hingga September 2025, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM721 juta kepada lebih 10 juta penerima manfaat di seluruh negara.

YAPEIM turut menyediakan kemudahan pembiayaan mikro melalui Ar-Rahnu YAPEIM yang kini mempunyai 201 cawangan di seluruh negara.

Sejak tahun 2000 hingga Ogos 2025, Ar-Rahnu YAPEIM telah membantu sejuta penggadai dengan nilai pembiayaan berjumlah RM18.1 bilion melibatkan 14 juta transaksi serta nilai marhun keseluruhan RM28 bilion.

YAPEIM yang ditubuhkan pada 13 Oktober 1976 dan dilancarkan semula pada 1984 merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan fokus mensejahterakan ummah melalui pembangunan ekonomi Islam, bantuan pendidikan dan amal jariah.