KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menitipkan kata-kata semangat buat aktivis Global Sumud Flotila (GSF) yang kini ditahan rejim Israel agar mereka diberi kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi cabaran itu.
Menurut beliau, kerajaan telah menggunakan semua saluran untuk segera membawa mereka pulang dengan selamat dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis yang menghalang usaha seluruh dunia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
“Seperti kita tahu, mereka bukan menghantar senjata, mereka hanya menghantar makanan, ubat-ubatan dan lain-lain keperluan asas. Jadi adalah tidak munasabah tindakan Israel sekarang ini yang cuba menyekat barang-barang yang masuk untuk diberikan kepada penduduk di Gaza.
“Kita tahu sebelum ini pun Israel memang mengadakan sekatan, tetapi kali ini melibatkan seluruh dunia yang mana hampir semua menghantar wakil bagi misi kemanusiaan ini, bukan sahaja daripada negara kita.
“Jadi kita harap perkara ini dapat menyedarkan Israel bahawa mereka bersendirian dan mungkin bersama dengan mereka hanyalah Amerika Syarikat (AS) sahaja,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) ditemui pemberita selepas melancarkan Larian Keluarga Malaysia 2025 dan Sukarelawan YKM serta pemberian Bantuan Menara Gading di Pickle Depot, Sentul pada Sabtu.
Tambah Ahli Parlimen Bera itu, pihaknya mendesak supaya AS bersikap jujur dalam usaha mencapai kedamaian dengan menamatkan konflik di Palestin.
“Selagi AS campur tangan, memang sukar untuk menyelesaikan isu di Palestin ini. Jadi, Amerika perlu jujur untuk membantu menyelesaikan isu di Gaza,” katanya.
Ditanya mengenai kehadiran Presiden AS, Donald Trump, ke negara ini, Ismail Sabri menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat pertimbangan sewajarnya.
Beliau turut merujuk tindakan beberapa negara seperti Sepanyol, Itali dan Colombia yang mengambil pendekatan memutuskan hubungan dengan mengusir semua diplomat Israel sebagai pendirian yang jelas.
“Saya percaya kerajaan kita dari dulu pun memang penyokong tegar Palestin dan sehingga kini kita masih meneruskan tekanan kepada AS, meminta Trump campur tangan menyelesaikan segera konflik tersebut bukan campur tangan untuk menyusahkan tetapi mempermudahkannya,” katanya.