KUALA LUMPUR – Himpunan solidariti bagi membantah sekatan terhadap misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini berlangsung dalam keadaan aman pada Sabtu.
Laungan “Hidup, hidup Palestin” dan “Hancur Israel” oleh peserta yang berarak di sekitar kawasan berkenaan bergema sepanjang himpunan berlangsung.
Iklan
Iklan
Biarpun program dijadual bermula pada jam 3 petang, peserta dan penyokong perjuangan pembebasan Palestin serta solidariti terhadap GSF dilihat mula memenuhi kawasan sekitar Sogo lebih awal.
Peserta turut mengibarkan bendera Palestin, memakai mafla dan pakaian berwarna hitam, putih, merah serta hijau — warna yang melambangkan perjuangan Palestin.
Media sebelum ini melaporkan lebih 400 aktivis kemanusiaan dari 36 negara, termasuk 23 rakyat Malaysia, menyertai misi GSF yang ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa awal pagi Khamis.