Sukarelawan flotilla dipaksa berlutut, didera dalam tahanan Israel

Iklan
Misi flotilla antarabangsa ke Gaza digagalkan selepas tiga kapal dipintas oleh tentera laut Israel. Foto Agensi

BERLIN - Beberapa warga Ireland yang menyertai Global Sumud Flotilla ke Gaza mendakwa mereka berdepan layanan kasar dan ganas semasa dalam tahanan Israel termasuk ditendang ketika cuba tidur selain dipaksa berlutut dengan tangan diikat serta dinafikan akses kepada keperluan asas.

Menurut Adalah, pusat undang-undang yang mempertahankan hak minoriti Arab di Israel, pasukan peguam mereka berjaya menemui 10 daripada 16 rakyat Ireland yang ditahan selepas kapal flotilla dipintas di laut.

Iklan
Iklan

Mereka kini ditempatkan di Penjara Ktzi’ot, sebuah kem tahanan di Gurun Negev yang lazimnya digunakan bagi menahan warga Palestin meskipun lokasi sebenar masih belum dapat dipastikan sama ada di penjara utama atau kem imigresen.

“Sebahagian mereka melaporkan mengalami keganasan ringan seperti ditendang ketika cuba tidur, seorang lagi mengadu diikat dengan kabel di belakang badan selama beberapa jam manakala yang lain menyebut ditolak,” kata peguam Adalah, Miriam Azem ketika ditemui di luar penjara tersebut.

Iklan

Peguam berkenaan turut mendakwa beberapa tahanan dinafikan air, ubat-ubatan serta akses ke tandas, selain dipaksa berlutut dengan tangan bergari plastik (zip-tie) selama sekurang-kurangnya lima jam.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir dilaporkan turut melawat tahanan flotila berkenaan dan menggelar mereka sebagai 'pengganas', satu tindakan yang menurut Adalah bertujuan menghina, mengintimidasi serta mempamerkan kawalan secara memperlekehkan.

Iklan

Pihak berkuasa Israel bagaimanapun menegaskan semua tahanan berada dalam keadaan baik dan proses pengusiran (deportasi) sedang dijalankan.

Kerajaan Ireland melalui Menteri Luar, Simon Harris mengesahkan pegawai kedutaan telah melawat tahanan di Ktzi’ot, memberikan bantuan konsular dan sedang mengumpulkan maklumat lanjut mengenai proses pengusiran.

“Kami faham situasi ini amat sukar buat keluarga tahanan dan pihak kedutaan akan terus menyalurkan maklumat terkini,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan, lebih 400 peserta flotilla dari pelbagai negara ditahan pihak Israel ketika cuba memecahkan blokade laut sejak 17 tahun lalu terhadap Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan. Adalah melaporkan setakat ini pihaknya telah mewakili 331 orang sukarelawan yang ditahan. – Agensi