Tukar nama bil elektrik, elak pemilik tanggung risiko

Iklan
Pasukan Special Engagement Against Losses (Seal) TNB memeriksa kotak meter utama di bawah premis. Gambar kecil: Ismail Zaili

 

SHAH ALAM - Pemilik rumah atau bangunan komersial digalakkan menukar nama pada bil elektrik setiap kali berlaku pertukaran penyewa bagi mengelakkan mereka menanggung risiko sekiranya premis digunakan untuk aktiviti haram termasuk perlombongan mata wang kripto bitcoin.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Ismail Zaili Yusop berkata, kesedaran pemilik untuk penukaran penghuni sementara (COT) masih kurang hingga menyebabkan sindiket mudah mengambil kesempatan menyewa premis dengan tujuan mencuri elektrik.

“Ramai pemilik rumah hanya fikirkan keuntungan daripada sewaan tetapi tidak cakna tentang kepentingan menukar nama bil elektrik.

Iklan

“Jika berlaku kecurian elektrik, pemilik berpotensi dipertanggungjawabkan kerana nama pada bil elektrik adalah pemilik sah.

“Walaupun COT tidak diwajibkan, kita amat galakkan pemilik buat kerana dengan sistem baharu Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan pengesahan cap jari, ia lebih selamat dan mampu menutup ruang penyalahgunaan identiti,” katanya.

Iklan

Sementara itu dalam tempoh 2021 hingga kini, beliau berkata, operasi bersepadu ST bersama TNB berjaya mematahkan kes kecurian elektrik yang dianggarkan bernilai RM28.6 juta.

“Curi elektrik ibarat permainan ‘kucing dan tikus’. Modus operandi mereka sentiasa berubah, kita perlu pastikan langkah dan tindakan kita lebih ke hadapan dengan kaedah penguatkuasaan berkesan.

“Kita juga harapkan orang ramai mempunyai kesedaran bahawa kecurian elektrik adalah satu kesalahan jenayah yang besar,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya turut memperluaskan kerjasama dengan pemaju hartanah, ejen perumahan serta wakil rakyat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko kecurian elektrik di kawasan masing-masing.