SHAH ALAM - Sepasang suami isteri berdepan ujian besar dalam hidup apabila kedua-duanya mengalami kecederaan tulang belakang kronik yang mengubah seluruh kehidupan mereka.
Suri rumah, Norazlina Zakaria, 43, berkata, sakit yang dialami mereka berpunca daripada insiden berbeza iaitu beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya manakala suaminya, Mohd Nazri Mohd Zin, 40, terjatuh dari bangunan ketika bekerja.
"Akibat kemalangan itu, saya mengalami kecederaan tulang belakang yang serius dan mengambil masa hampir 10 tahun untuk belajar berjalan semula. Selama tujuh tahun saya terlantar, bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda dan rawatan intensif.
"Suami saya pula terjatuh dari bangunan semasa bekerja sekitar tahun 2014. Akibatnya, tulang belakangnya hancur dan beliau menjalani pembedahan tulang belakang yang sangat kompleks.
"Sejak kejadian itu, suami mengalami kehilangan sensasi pada separuh badan dari paras pinggang ke bawah serta komplikasi kesihatan berpanjangan," katanya kepada Sinar Harian.
Mengimbas dugaan yang menimpa, Norazlina berkata, mereka kini memerlukan makanan khas dan minum susu enam kali sehari.
Kedua-duanya juga menggunakan saluran tiub di hidung bagi mendapatkan susu khas sebagai sumber nutrisi.
"Saya perlu menguruskan suami sepenuhnya daripada mengangkatnya, menukar lampin, mencuci luka tekanan, sehinggalah memastikan beliau mendapat nutrisi mencukupi. Dalam masa yang sama, saya juga perlu menjaga diri sendiri.
"Kekangan masa, keletihan fizikal dan emosi, serta tekanan perasaan adalah perkara yang sukar dielakkan. Kadang-kadang apabila saya terlalu sakit, saya tidak mampu bangun dari katil. Namun, kami tetap bertahan kerana kami tahu tiada siapa lagi selain kami untuk saling menyokong.
"Apa yang membuatkan kami terus kuat ialah rasa kasih dan tanggungjawab. Saya tahu tugas saya sebagai isteri dan penjaga, manakala suami walaupun sakit tetap menjalankan peranannya sebagai penyokong. Kami tidak sempurna; saya cepat marah, suami pula lebih tenang. Tetapi dalam ketidaksempurnaan itulah kami saling melengkapi," ujarnya.
Tambahnya lagi, mereka percaya kekuatan itu datang daripada ALLAH serta rasa kasih sayang terhadap pasangan, keluarga dan masyarakat.
Kongsi Norazlina, apabila ada rasa tanggungjawab dan kasih sayang yang mendalam, seseorang akan tetap kuat walaupun dilanda dugaan.
"Walaupun keadaan kesihatan kami mencabar, saya masih cuba untuk berniaga dari rumah. Saya hanya mampu membuat sesi siaran langsung sekali sehari, biasanya pada waktu malam kerana siangnya dipenuhi urusan penjagaan suami dan rawatan.
"Namun, alhamdulillah, sambutan yang kami terima sangat luar biasa. Dalam minggu pertama saya menjual minyak wangi secara dalam talian, saya berjaya menjual lebih daripada 1,200 botol. Ia bukan sahaja memberi pendapatan, tetapi juga suntikan semangat.
"Pelanggan kami bukan hanya membeli kerana simpati, tetapi kerana mereka percaya kepada kualiti produk serta keikhlasan kami dalam berniaga. Ada yang menyatakan mereka menyokong kerana melihat usaha kami, dan kata-kata itu menjadi motivasi besar buat kami," katanya.
Norazlina turut berharap masyarakat lebih memahami cabaran yang dilalui pesakit kronik dan tidak mengambil kesempatan atas kelemahan mereka.
"Kami mohon agar usahawan lain tidak memperdagangkan kisah penderitaan hanya untuk keuntungan. Orang sakit juga mempunyai maruah dan hak untuk dihormati. Kami berharap kisah ini memberi inspirasi kepada mereka yang sedang diuji. Jangan putus harapan. Jangan tunggu sihat untuk bangkit. Bangkitlah walaupun perlahan, asalkan tidak berhenti.
"Kekuatan kami bukan kerana kami istimewa, tetapi kerana kami tiada pilihan selain untuk terus kuat. Kami sakit, kami terluka, tetapi tetap memilih untuk berjuang — untuk diri sendiri, untuk satu sama lain, dan untuk semua yang kami sayangi.
"Doakan kami terus tabah. Dan kepada mereka yang sedang melalui ujian, ingatlah selagi ada kasih sayang dan rasa tanggungjawab, kita tidak akan benar-benar jatuh," katanya.