Pelan Makanan, Pertanian dan Perhutanan 2026-2030 kini sumber rujukan utama ASEAN - KPKM

Iklan
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kiri) mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) ke-47 yang berlangsung di Hotel Conrad Manila, Filipina pada 1 Oktober lalu.

MANILA, FILIPINA – ASEAN sebulat suara menerima pakai ASEAN Food, Agriculture and Forestry-Sectoral Plan (FAF-SP 2026-2030) sebagai dokumen rujukan utama sektor makanan, pertanian dan perhutanan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) ke-47 yang berlangsung di Hotel Conrad Manila, Filipina pada 1 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Menurut kementerian itu, kesepakatan berkenaan mencerminkan komitmen kukuh negara anggota ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau.

“Melalui pelan ini, ASEAN akan mempunyai dokumen rujukan yang jelas bagi menghadapi cabaran dan merebut peluang dalam sektor pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Persidangan mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mengetuai delegasi Malaysia.

Delegasi Malaysia juga disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Datuk Seri Norazman Ayob serta pegawai kanan kementerian.

Iklan

Mengulas lanjut, kementerian berkenaan memaklumkan mesyuarat turut menyokong dua keutamaan keberhasilan ekonomi (PED) di bawah komitmen Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu ASEAN Leaders’ Declaration on the Vision for Food, Agriculture, and Forestry Towards 2045 serta ASEAN Framework for Cooperation in Food, Agriculture, and Forestry Sector Towards 2045.

Jelas kementerian, kedua-dua dokumen tersebut dijadualkan dibentang untuk perakuan Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menambah menterinya turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Filipina dan Jepun bagi membincangkan peluang kerjasama baharu dalam sektor pertanian.