Aktivis GSF Malaysia dijangka diterbangkan pulang dalam tempoh 48 jam

Iklan
Seramai 23 aktivis GSF Malaysia yang ditahan rejim Israel dijangka diterbangkan pulang dari Ashdod dalam tempoh 48 jam. Foto Bernama

SEPANG - Seramai 23 aktivis Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan rejim Israel dijangka diterbangkan pulang dari Ashdod, dalam tempoh 48 jam.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, jangkaan itu dibuat hasil usaha berterusan yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penaung misi tersebut bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Iklan
Iklan

“Dengan usaha yang dimainkan Perdana Menteri sendiri serta pihak Turkiye, kita menjangkakan fasa untuk membawa pulang delegasi Malaysia daripada Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam lagi, insya-ALLAH,” katanya pada sidang media di Mapim Central Warehouse, Sepang, malam Jumaat.

Menurutnya, peranan Perdana Menteri amat signifikan apabila beliau sendiri menghubungi SNCC sejak awal pagi tadi bagi memaklumkan perkembangan positif hasil rundingan antarabangsa.

Iklan

“Perdana Menteri bukan sahaja memberi komitmen maksimum, tetapi turut menghubungi Presiden Erdogan, Presiden Mesir serta Setiausaha Amerika Syarikat berkali-kali untuk memastikan usaha evakuasi ini berjalan lancar.

“Saya kira sedikit masa lagi, kita dapat menjemput mereka untuk pulang ke tanah air, mungkin melalui Ankara ataupun Istanbul,” jelasnya.

Iklan

Beliau berkata, Malaysia bersama Turkiye berpotensi menjadi negara pertama yang berjaya mengeluarkan rakyat masing-masing daripada tahanan rejim Zionis.

“Namun usaha ini tidak akan terhenti dengan Malaysia dan Turkiye sahaja. Kita akan berusaha sehabis-habisnya untuk turut membantu membawa keluar kumpulan negara lain yang masih ditahan,” ujarnya.

Sani Araby dalam pada itu turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas keprihatinan baginda terhadap keselamatan delegasi Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan.