Sekolah runtuh di Jawa Timur: 10 terkorban, operasi menyelamat diteruskan

Iklan
Anggota pasukan mencari dan menyelamat berehat seketika sementara operasi menyelamat diteruskan di tapak bangunan yang runtuh di Sekolah Pondok Islam Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur. Foto AFP

JAKARTA - Pasukan penyelamat Indonesia menemukan lima lagi mayat daripada runtuhan bangunan pondok pengajian Islam Al Khozyni di Sidoarjo, Jawa Timur pada Jumaat, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 10 orang.

Bangunan empat tingkat itu runtuh pada Isnin petang ketika pekerja sedang menuang konkrit di tingkat atas, menyebabkan pelajar dan pekerja binaan tertimbus di bawah runtuhan.

Iklan
Iklan

Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), mayat mangsa dibawa ke Hospital Polis Bhayangkara di Surabaya untuk proses pengecaman.

"Sekurang-kurangnya 113 orang terjejas akibat runtuhan ini, dengan 103 masih hidup,” kata penyelaras misi SAR, Yudhi Bramantyo dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, seramai 23 orang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan setakat ini dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.

Pasukan penyelamat terpaksa memecahkan dinding konkrit yang runtuh serta memotong besi untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Iklan

Sementara itu, seramai 54 orang masih hilang, menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB). = Bernama