Israel dakwa tiada bantuan dalam 40 kapal GSF

Iklan
Tentera laut Israel menaiki kapal Oxygono, salah satu bot GSF yang menuju ke Gaza. Foto AFP

BAITULMAQDIS – Polis Israel mendakwa tiada bekalan kemanusiaan ditemui dalam mana-mana daripada 40 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dipintas ketika dalam perjalanan ke Gaza.

Menurut laporan Jerusalem Post, siasatan dan penggeledahan kapal berkenaan hanya menemui aktivis serta penumpang, namun tiada sebarang barangan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan atau keperluan asas.

Iklan
Iklan

Israel sebelum ini menegaskan flotilla berkenaan cuba memprovokasi dengan alasan bantuan kemanusiaan, sekali gus melanggar sekatan laut yang dikenakan ke atas Gaza sejak bertahun-tahun.

Pihak berkuasa Israel turut menahan ratusan aktivis antarabangsa termasuk tokoh terkenal seperti aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau, serta Ahli Parlimen Eropah, Rima Hassan.

Iklan

GSF yang disertai lebih 400 aktivis dari pelbagai negara dilaporkan berlepas dari Barcelona bulan lalu dengan matlamat mencabar sekatan Israel serta menghantar bekalan ke Gaza.

Namun, pasukan tentera laut Israel memintas kesemua kapal terbabit di perairan antarabangsa sebelum menunda mereka ke pelabuhan di Israel.

Iklan

Jurucakap Israel mendakwa pihaknya hanya melaksanakan undang-undang bagi menghalang kapal memasuki kawasan peperangan aktif di Gaza.

Laporan itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan penganjur flotilla yang mendakwa mereka membawa muatan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang berdepan krisis kebuluran.

Misi flotilla kali ini dianggap sebagai yang terbesar selepas lebih dua tahun konflik di Gaza yang menyaksikan sekatan Israel menghalang bantuan masuk ke wilayah tersebut.

Pihak antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah, Colombia, Turkiye dan beberapa pertubuhan hak asasi mengecam tindakan Israel memintas flotilla kemanusiaan itu. - Agensi