Pas desak sesi khas sidang Parlimen bahas isu tahanan rakyat Malaysia oleh Israel

Iklan
Takiyuddin

SHAH ALAM - Pas menggesa kerajaan mengadakan sesi khas sempena sidang Parlimen yang akan bermula Isnin depan bagi membahaskan insiden penahanan 23 rakyat Malaysia oleh tentera Israel yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sesi khas itu nanti membolehkan satu ketetapan rasmi dibuat sebagai suara kolektif seluruh rakyat Malaysia melalui wakil rakyat.

Iklan
Iklan

"Tindakan rejim Zionis bukan sahaja pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, malah penghinaan ke atas usaha kemanusiaan global yang dijamin konvensyen antarabangsa.

"Parlimen Malaysia perlu bersikap proaktif dan tidak boleh berdiam diri dalam isu penting ini.

Iklan

"Solidariti kemanusiaan dan pembelaan hak rakyat Palestin adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang kepercayaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Kementerian Luar Negeri sebelum ini dilapor memaklumkan 23 rakyat Malaysia yang ditahan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Iklan

Dalam pada itu Takiyuddin menegaskan, Wisma Putra perlu bertindak segera melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa bagi memastikan keselamatan serta pembebasan semua tahanan.

Selain itu ujarnya, kerajaan Malaysia perlu memimpin inisiatif serantau dengan menggesa ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak Israel menghentikan sekatan serta ancaman terhadap misi kemanusiaan yang sah.

"Israel perlu dipertanggungjawabkan dan suara Malaysia mesti jelas didengar di pentas dunia sebagai langkah diplomatik dalam membela hak sah rakyat Palestin bagi membantu mereka yang teraniaya.

"Diplomasi bukanlah ketundukan atau kepasrahan tetapi kesediaan membina persefahaman tanpa menggadai prinsip dan maruah sendiri," tegasnya.