SEPANG - Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) Marinette dilaporkan dalam keadaan memecut belayar dengan kelajuan 6 knot menuju ke Gaza.
Jurucakap Jawatankuasa Induk Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Adibah Razali berkata, Marinette merupakan satu-satunya kapal yang masih belayar dan kini berada di zon merah R2.
"Klau knot 6 ini dalam kata lain kami panggil mereka sedang memecut laju kerana kebiasaan knot untuk kapal belayar antara 4.5 dan 5.
"Jangkaan kita sekiranya berlaku pintasan, ia berlaku pada waktu siang. Melihat kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) keadaan di sana masih siang dan sekiranya berlaku pintasan, ia akan nampak secara jelas," katanya ketika ditemui pemberita di SNCC di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kapal itu bagaimanapun tidak membawa rakyat Malaysia.
Difahamkan sekiranya kapal berada di R2, ia menandakan jarak mereka ke pesisiran pantai Gaza kini berbaki kira-kira 60 batu nautika.
Sistem penjejak (tracker) Sumud Nusantara setakat jam 2 petang waktu Malaysia dan sekitar jam 9 pagi waktu Gaza, kapal itu dikesan berada di koordinat 31°43.206′ N, 33°17.648′ E.
Kapal itu mula menghampiri lokasi kapal Hio dan Jeannot III yang telah dipintas oleh pasukan pertahanan Israel pada Rabu. - Bernama