Duda Bangladesh didenda belasah kekasih Thailand

Iklan
Md Rasal (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana mencederakan kekasihnya minggu lalu.

MELAKA – Gara-gara gagal mengawal emosi, seorang pekerja binaan warga Bangladesh denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencederakan kekasihnya wanita Thailand dengan kerusi dan tali pinggang di rumah sewa mereka minggu lalu.

Hukuman dijatuhkan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin terhadap tertuduh, Md Rasal, 41, yang juga seorang duda dua anak, selepas tertuduh membuat pengakuan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Miss Siriphon Aekhiam, menggunakan tali pinggang di kediaman mereka di Blok P, Pangsapuri Plaza Melaka Raya, di sini pada 25 September lalu kira-kira jam 8.21 malam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah dimaklumkan, wanita terbabit mengalami kecederaan parah akibat dipukul menggunakan kerusi selain tali pinggang gara-gara mangsa sering memarahi tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kerana tertuduh adalah warga asing dan mangsa cedera parah akibat serangan berkenaan.

Iklan

Namun, peguam bela Kent Tan merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya yang sudah bercerai perlu menyara dua anak kecil berusia tujuh dan lima tahun serta ibu bapa uzur di Bangladesh.

Tertuduh hanya berpendapatan sekitar RM2,500 sebulan dan sebahagian besar gaji dihantar ke negara asal, manakala RM500 diberi kepada mangsa untuk bayaran sewa rumah yang mereka kongsi.

Mahkamah kemudian memerintahkan Md Rasal membayar denda RM3,500 atau penjara tujuh bulan jika gagal. Tertuduh menjelaskan denda itu.