Halang tugas polis: Dua peserta himpunan depan Kedutaan AS dibebaskan

Iklan
Fadil

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang ditahan disyaki menghalang tugas polis ketika kawalan keselamatan ketika perhimpunan aman pro-Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini pada Khamis telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 32 tahun itu dibebaskan selepas siasatan awal dijalankan.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua suspek telah dirakam keterangan untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan pada malam hari yang sama.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Fadil memberi jaminan pihaknya bersedia membantu melancarkan mana-mana perhimpunan susulan tindakan Israel menahan misi kemanusiaan GSF ke Gaza.

Iklan

"Polis Kuala Lumpur menghargai kebebasan berhimpun, namun peserta dinasihatkan mematuhi undang-undang serta arahan polis demi ketenteraman awam agar himpunan berjalan lancar dan tidak dipandang negatif," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kekecohan tercetus apabila peserta himpunan menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera di bahagian mulut akibat disiku seorang peserta.