KERAJAAN sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam setiap belanjawan melalui bentuk dana khas, geran mahupun jaminan pinjaman bagi memastikan sektor berkenaan kekal menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM600 juta bagi peniaga kecil di Sabah dan Sarawak serta dana RM2 bilion untuk menyokong syarikat pemula teknologi mampan.
Belanjawan 2024 pula mengekalkan momentum tersebut dengan menyediakan kemudahan pembiayaan dan jaminan berjumlah RM44 bilion.
Tahun lalu, kerajaan turut memperkenalkan pakej pembiayaan dan jaminan pinjaman berskala besar melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) serta skim Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional bagi meluaskan akses modal kepada lebih banyak perniagaan.
Agensi seperti Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) juga terus memainkan peranan melalui saluran geran dan pembiayaan terarah seperti kolaborasi bersama microLEAP bernilai kira-kira RM70 juta sejak 2021.
Justeru, lebih banyak pemain industri menjangkakan belanjawan kali ini akan meneruskan fokus sokongan kepada PKS, khususnya dalam aspek digitalisasi dan kecairan modal.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr Shamshul Anaz Kassim berkata, Belanjawan 2026 dijangka memberi impak positif kepada PKS dengan menumpukan aspek penting bagi meningkatkan daya saing perniagaan.
“Kerajaan dijangka menambah skim pembiayaan atau memperkukuh dana sedia ada seperti Skim Jaminan Kredit Perusahaan Kecil dan Sederhana (SJGKS) bagi membantu PKS mendapatkan pinjaman dengan jaminan kerajaan. Ia penting bagi mereka yang tidak mempunyai aset mencukupi sebagai cagaran.
“Selain itu, peruntukan dana atau insentif cukai turut disediakan untuk menggalakkan PKS mengadaptasi teknologi seperti geran membeli perisian perakaunan, sistem pengurusan inventori atau automasi proses pengeluaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, berdasarkan trend peruntukan tahunan yang meningkat daripada RM9.83 bilion pada 2023 kepada RM10 bilion pada 2024, kerajaan dijangka mengekalkan atau menambah jumlah peruntukan antara dua hingga lima peratus untuk PKS dalam Belanjawan 2026.
“Ini kerana PKS menyumbang lebih 98.5 peratus daripada keseluruhan pertumbuhan perniagaan dan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi yang kritikal.
“Meskipun ekonomi menunjukkan pemulihan, PKS masih berdepan cabaran seperti inflasi dan kos bahan mentah meningkat. Peningkatan peruntukan akan membuktikan komitmen kerajaan menyokong pembangunan PKS agar terus berdaya saing di peringkat domestik dan global,” ujarnya.
Insentif cukai
Shamshul Anaz turut berpandangan, insentif cukai antara langkah berkesan membantu PKS kekal berdaya saing terutama melalui potongan khas bagi latihan dan automasi.
Menurutnya, apabila PKS mendapat potongan cukai untuk perbelanjaan latihan, mereka lebih cenderung menghantar pekerja menyertai kursus peningkatan kemahiran.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, malah mengekalkan pekerja mahir.
“Potongan cukai bagi pelaburan automasi dan teknologi hijau turut mengurangkan kos awal yang tinggi, sekali gus menggalakkan PKS bergerak ke arah teknologi lebih cekap dan memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, peniaga PKS mengharapkan Belanjawan 2026 memberi ruang bernafas melalui dasar lebih mesra perniagaan dan sokongan praktikal.
Jelas beliau, antaranya akses pembiayaan lebih inklusif, insentif cukai yang meringankan beban operasi, bantuan transformasi digital dan sokongan pembangunan kapasiti tenaga kerja.
“Paling utama, peniaga PKS mahu melihat langkah yang berterusan, bukan bersifat sementara supaya mereka boleh merancang strategi perniagaan dengan lebih yakin dan mampan,” katanya.
Menurutnya, bentuk sokongan realistik bagi PKS ialah yang mampu dirasai segera oleh usahawan di lapangan, bukan sekadar dasar di atas kertas.
“Contohnya, kerajaan boleh memudahkan prosedur kelulusan pinjaman. Kelewatan dalam akses pembiayaan sering jadi penghalang utama PKS untuk berkembang.
“Subsidi terarah seperti bantuan sewaan premis, bil utiliti asas atau subsidi logistik juga wajar dipertimbangkan.
“Skim perolehan kerajaan yang mewajibkan sebahagian kontrak diberikan kepada syarikat PKS patut diperluas kerana ia memberi peluang terus kepada peniaga kecil memasuki rantaian bekalan,” katanya.
Beliau turut menjangkakan kerajaan akan menambah baik dan memperluas skim pinjaman mudah serta jaminan kredit kerana isu aliran tunai masih menjadi cabaran paling kritikal yang membelenggu PKS.