SHAH ALAM - Pemberian had kelayakan tambahan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing yang diumumkan oleh kerajaan diharapkan bersesuaian dengan keperluan mereka.
Enam persatuan mewakili penghantar p-hailing dan e-hailing berkata, buat masa ini, penggiat e-hailing sepenuh masa memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 liter tambahan terutama di kawasan bandaraya seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurut kenyataan itu, pengumuman tersebut sedikit sebanyak meleraikan persoalan dalam kalangan penggiat e-hailing walaupun belum diumumkan jumlah tambahan liter RON95.
"Bagaimanapun, kami amat yakin Perdana Menteri pasti akan mengambil kira jika ada kekurangan had kelayakan tambahan ini, ia akan memberi impak kepada kos pengguna e-hailing.
"Pengiktirafan Perdana Menteri terhadap penggiat industri e-hailing yang disebut sebagai memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan awam negara turut memberi lonjakan semangat.
"Dalam masa sama diharap dapat diterjemahkan melalui pemberian had kelayakan yang bersesuaian dengan keperluan kami," kata gabungan persatuan itu dalam kenyataan bersama pada Jumaat.
Enam persatuan terbabit ialah Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak, serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah.
Tambah kenyataan itu, diharapkan juga inisiatif BUDI95 turut diperluaskan kepada sektor p-hailing.
Jelasnya, hal ini mengambil kira keperluan tugasan penghantar P-Hailing, di samping terdapat sebahagian daripada mereka yang menggunakan kenderaan seperti kereta, pacuan empat roda dan van bagi tujuan penghantaran barangan selain motosikal.
"Kami juga menghargai inisiatif Grab yang telah mengemukakan isu had kelayakan BUDI95 dalam pertemuan bersama Perdana Menteri.
"Inisiatif sebegini penting untuk memastikan suara industri didengari bagi mendapatkan gambaran sebenar keperluan industri apatah lagi ada kalangan pemandu dan penghantar bergantung pendapatan sepenuh masa daripada khidmat e-hailing serta p-hailing.
"Insiaitif Grab ini dapat memberi gambaran jelas realiti lapangan bagi mengelakkan potensi kenaikan kos tambahan yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna, sekali gus menjejaskan akses rakyat kepada pengangkutan mampu milik," ujarnya.